Antara bungkusan daging yang dijual di sebuah pasar raya ketika tinjauan pada 22 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor pantau rapat isu daging import, rakyat diminta bertenang

SHAH ALAM, 27 DIS: Kerajaan Negeri sentiasa memantau rapat isu daging import yang diragui status halal dengan kerjasama jabatan dan agensi penguatkuasaan persekutuan.

EXCO pengguna dan industri halal berkata kerjasama dijalinkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melalui Bahagian Pengurusan Halalnya sejak Oktober lalu.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni menjelaskan sebuah jawatankuasa khas juga ditubuhkan untuk menangani isu terbabit.

“Kerajaan Selangor memandang serius insiden kartel daging import sejuk beku bertanda halal yang dibawa masuk dari luar negara ke negara ini.

“Walaupun kes tangkapan dan pembongkaran tersebut tidak berlaku di Selangor namun tiada jaminan bahawa stok daging tidak sampai dan tidak dipasarkan di negeri ini secara haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis turut menyeru seluruh rakyat di negeri ini supaya bertenang dalam mendepani isu berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkusnya semula dengan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor.


Pengarang :