Penghantar barangan Seldec mengangkat beg selepas pelancaran portal Rantaian e-Bekalan Digital Selangor dan aplikasi Seldec Rider di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor pertimbang cadangan perluas RiDE selain motosikal

SHAH ALAM, 1 DIS: Kerajaan Negeri sedia mempertimbang cadangan memperluaskan program Roda Darul Ehsan (RiDE) melalui bantuan subsidi lesen kenderaan selain motosikal.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata inisiatif itu bagi menggalakkan penglibatan belia dalam ekonomi gig yang mampu memberi peluang pendapatan kepada mereka.

“Apa pun tindakan kita adalah berdasarkan pandangan kepada kumpulan ini (belia). Jika suatu masa nanti ada permintaan terhadap e-panggilan kereta, saya ingat Kerajaan Negeri boleh fikir ke arah itu.

“Dalam erti kata lain, tiada sebarang sekatan kepada program kita. Paling penting, (program ini) berbentuk eksklusif kerana kita perlu sedar perubahan yang dimahukan oleh belia Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara: Peluang Kerja, Gilap Potensi Anak Muda yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Program selama sejam turut menampilkan pensyarah kanan Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin.

EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Mohd Khairuddin Othman bersama pensyarah kanan Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin ketika Program Bual Bicara Belanjawan Selangor 2021 di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 30 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Mohd Khairuddin berkata Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mencari pendekatan baharu seiring arus pemodenan bagi membantu belia meneruskan kelangsungan hidup terutama dalam mendepani cabaran pasca pandemik Covid-19.

Justeru, katanya perkhidmatan e-panggilan tidak seharusnya dilihat sebagai kerjaya yang kurang menguntungkan sebaliknya memberi peluang kepada anak muda menjana pendapatan sendiri.

“Di Selangor, terdapat kira-kira 2.9 juta belia berusia lingkungan 15 hingga 40 tahun manakala populasi keseluruhan dianggar sebanyak 6.2 juta. Ia jelas membuktikan belia mendominasi populasi negeri ini.

“Sekiranya kita mengambil sikap tradisional mahupun kaedah konservatif, saya berasakan belia akan menganggap Kerajaan Negeri masih dengan cara lama. Oleh itu, kita perlu rai golongan ini,” katanya.

Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk RM2 juta untuk memperluas program RiDE kepada bukan sahaja belia bandar tetapi luar bandar dengan menyasarkan 3,000 peserta memperoleh kerjaya sebagai penghantar dalam perkhidmatan e-panggilan.

Peserta bakal menerima subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, kursus e-panggilan bernilai RM200 dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) RM70 setahun.

 


Pengarang :