Petugas kesihatan meletakkan sampel saringan Covid-19 ke panel khas ‘buffer tube’ untuk mengesan jangkitan virus dengan pantas menggunakan mesin analisa Standard F200 SD Biosensor ketika program Saringan Komuniti di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor rekod 1,014 kes baharu Covid-19

SHAH ALAM, 22 DIS: Selangor mencatatkan 1,014 kes baharu Covid-19 menurun 190 kes berbanding semalam, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu 887 adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat.

“Sebanyak 736 adalah jangkitan daripada kluster sedia ada dan baharu manakala 151 saringan kontak rapat, 126 lain-lain saringan serta satu kes import,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, terdapat dua pertambahan kluster baharu direkodkan di negeri ini iaitu Kluster Pasar Baru di Klang dan Kuala Langat serta Kluster Bukit Naga (Klang).

“Setakat hari ini, sebanyak 309 kes dikesan positif di Kluster Pasar Baru manakala di Kluster Bukit Naga seramai 58 individu turut dijangkiti Covid-19,” jelasnya.

Sementara itu, kes baharu pandemik itu di Malaysia pula kekal empat angka iaitu 2,062 kes.

Seramai 911 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital manakala 111 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta 51 memerlukan bantuan pernafasan.


Pengarang :