Petugas kesihatan meletakkan sampel saringan di panel khas ‘buffer tube’ selama 30 minit sebelum dimasukkan ke dalam mesin analisa Standard F200 SD Biosensor untuk mengesan jangkitan Covid-19 dengan cepat ketika program saringan dijalankan di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor rekod 503 kes, tiga jangkitan import

SHAH ALAM, 15 DIS: Selangor merekodkan sebanyak 503 kes positif Covid-19 hari ini berbanding 532 jangkitan semalam menjadikan kesemuanya 22,082.

Ketua pengarah kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata negeri itu mencatatkan kes kedua tertinggi selepas Kuala Lumpur yang mencatat 696 kes.

“Sebanyak 62 kes daripada kluster sedia ada, 165 kes saringan kontak rapat kes positif Covid-19, tiga kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 273 kes melalui lain-lain saringan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi Facebook memaklumkan tiga kes import mendapat jangkitan dari Qatar (dua) dan Amerika Syarikat (satu).

Menurutnya, seramai 283 pesakit pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini menjadikan keseluruhan sembuh sebanyak 14,830 manakala angka kematian kekal 34 orang.

Terdahulu, kes baharu Covid-19 dalam negara terus kekal empat angka apabila sebanyak 1,772 kes direkodkan, meningkat berbanding 1,371 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan di seluruh negara 86,618.


Pengarang :