Amirudin Shari menampal pelekat Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) pada motosikal penerima inisiatif dalam majlis penyerahan yang berlangsung di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam pada 14 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor terus bantu rakyat, pastikan tiada tercicir – MB

SHAH ALAM, 25 DIS: Selangor terus memberi dan berkongsi kekayaan negeri untuk semua rakyat terutama golongan memerlukan, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata kepimpinannya juga berikrar untuk memastikan setiap individu tidak tercicir dalam kemakmuran dikecapi ketika ini.

“Ternyata kepayahan dan kesukaran dihadapi rakyat amat berat terutama ancaman wabak Covid-19 yang melanda.

“Justeru, Kerajaan Negeri menerusi Belanjawan Selangor 2021 telah menyediakan pelbagai inisiatif sebagai usaha membantu mereka yang terkesan dan memerlukan,” katanya menerusi Perutusan Hari Natal.

Menurutnya, Kerajaan Selangor juga giat bertindak agresif bagi menggalakkan pengusaha dan usahawan mewujudkan peluang pekerjaan.

Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima Inisiatif Roda Darul Ehsan (RIDE) pada majlis penyerahan yang berlangsung di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam pada 14 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Antara yang utama adalah inisiatif Niaga Darul Ehsan (NaDi) yang memberi pinjaman serendah RM1,000 untuk rakyat Selangor memulakan perniagaan selain program kerjaya,” katanya.

Dalam Belanjawan Selangor 2021, antara langkah membantu golongan sasar adalah program Inisiatif Data Internet Selangor berjumlah RM17.5 juta, Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dengan peruntukan RM62 juta, Skim Mesra Usia Emas (SMUE) 2.0 yang memberi bantuan khairat kematian RM500 serta sejumlah RM3.25 juta bagi golongan kelainan upaya (OKU).

Amirudin berkata Kerajaan Selangor terus menjaga kebajikan rakyat yang menjadi mangsa selepas pelbagai insiden berlaku tahun ini hingga menyebabkan kemerosotan ekonomi.

“Kita semua seolah-olah hilang kompas moral. Oleh itu agenda reformasi digenggam selama ini akan diteruskan.

“Keutuhan Kerajaan Negeri mewujudkan permuafakatan, ketelusan, kebertanggungjawaban, integriti serta pentadbiran yang baik dan rakyat akan menikmati kemakmuran bersama,” katanya.

 

 


Pengarang :