EXCO Perumahan & Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail pada sidang media berkenaan perumahan di Hotel De Palma Seksyen 19 Shah Alam pada 22 Disember 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor tolak cadangan turun harga jualan rumah milikan warga asing – EXCO

SHAH ALAM, 22 DIS: Kerajaan Negeri menolak cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menurunkan harga jualan rumah kepada warga asing menerusi skim Malaysia My Second Home (MM2H).

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata mengikut dasar Kerajaan Negeri, harga minimum ditetapkan kepada warga asing adalah sebanyak RM2 juta.

Bagaimanapun, katanya kementerian terbabit mencadangkan penurunan harga minimum kepada golongan berkenaan sebanyak RM600,000.

“Kita hanya pertimbangkan (harga minimum) RM1.5 juta sahaja kepada mereka (warga asing) kerana ia mungkin nampak besar tetapi untuk pemilikan asing itu mereka menunggu untuk beli.

“Jadi, KPKT kena buat harga kawalan kerana kalau tidak saya rasa peluang untuk warganegara memiliki itu akan terkesan,” katanya pada sidang media di Hotel De’Palma Seksyen 19 di sini hari ini.

Rodziah menjelaskan kebanyakan unit rumah tidak terjual bukan berpunca daripada kerajaan sebaliknya masalah pemaju itu sendiri.

Beliau berkata pemaju seharusnya mencari pendekatan lain bagi membolehkan rakyat tempatan memiliki rumah tersebut.

“Kalau dia (pemaju) mahu kerajaan memutuskan berapa (harga) supaya boleh jual kepada warga asing, saya rasa kita (Kerajaan Negeri) tidak boleh patuhi,” katanya.

 


Pengarang :