Penghantar barangan Seldec menunjukkan isyarat bagus ketika menunggu giliran mendapatkan inisiatif RiDE oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 14 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Seldec perluas operasi, sasar 1,200 penghantar barangan

SHAH ALAM, 15 DIS: Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) bakal memperluas perkhidmatan e-panggilan ke seluruh Lembah Klang bermula tahun depan.

Berikutan itu, pengarah projeknya berkata syarikat tersebut memerlukan seramai 1,200 pemandu dan penunggang motosikal untuk menghantar pesanan.

Md Fauzan Elham memaklumkan ketika ini Seldec hanya memiliki 50 penghantar barangan berdaftar meliputi 36 kawasan sekitar Shah Alam, Klang dan Rawang.

“Kita bakal meluaskan perkhidmatan ke Cyberjaya, Bangi, Kajang serta daerah lain sekitar Lembah Klang, justeru kita bercadang menambah bilangan penghantar barangan secara berperingkat,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Inisiatif RiDE di Dataran Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam.

Pada 13 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Seldec akan digunakan untuk memasarkan hasil tani, produk usahawan kecil dan barangan basah secara meluas.

Seldec yang diterajui Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd menghubungkan pembeli dan penjual secara langsung melalui pautan https://www.seldec.com.my/en.


Pengarang :