Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Penyerahan Sumbangan Kebajikan Sempena Perayaan Krismas peringkat negeri di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 21 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Semua kakitangan hospital Klang akan disaring – MB

SHAH ALAM, 21 DIS: Semua kakitangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang akan disaring memandangkan mereka berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu akan dibincangkan terlebih dahulu bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) termasuk mekanisme pelaksanaannya.

“Sehari dua ini kita akan lihat langkah susulan untuk pekerja HTAR dan akan dibuat dalam masa terdekat.

“Kerajaan Negeri akan bantu dan JKNS mungkin tidak menghalang langkah ini kerana semua pekerja HTAR berisiko besar,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, beliau hadir ke Majlis Penyerahan Sumbangan Sempena Perayaan Hari Krismas 2020 peringkat negeri.

Sementara itu, Amirudin berkata Majlis Keselamatan Negera (MKN) memanggil Kerajaan Selangor secara khas dalam masa terdekat bagi membincangkan situasi terkini Covid-19 di negeri ini.

“Saya akan memberi beberapa cadangan serta mendengar pandangan susulan bagi mengekang penularan virus.

“Bagaimanapun sebarang langkah sama ada pelaksanaan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat) atau PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) diputuskan MKN,” katanya.

Semalam, Pengarah JKNS Datuk Dr Sha’ari Ngadiman memaklumkan terdapat 143 kes positif Covid-19 direkodkan di HTAR membabitkan 62 kakitangan kesihatan serta 81 pesakit.


Pengarang :