Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM Shah Alam Dr Noor Nirwandy Mat Noordin ketika program bual bicara Peluang Kerja, Gilap Potensi Anak Muda di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 30 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Sistem cukai unik dicadang pacu ekonomi belia Selangor

SHAH ALAM, 1 DIS: Kerajaan Negeri dicadang mewujudkan sistem percukaian unik dan luar daripada kepompong biasa bagi merangsang ekonomi belia di Selangor.

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam berkata sistem cukai itu akan melibatkan pemberian insentif atau gaji khas kepada mereka yang bekerja dalam sektor tertentu yang dimonopoli pekerja warga asing.

“Jika usaha itu diselaraskan dengan baik maka kebergantungan terhadap tenaga kerja asing mampu dikurangkan sekali gus membuka lebih banyak ruang pekerjaan kepada belia tempatan.

“Sistem ini mungkin boleh dibuat di peringkat dasar namun memerlukan satu proses perbincangan lebih mendalam. Jika direalisasikan belia akan dapat dua gaji iaitu daripada industri dan Kerajaan Negeri,” kata Dr Noor Nirwandy Mat Noordin.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara: Peluang Kerja, Gilap Potensi Anak Muda disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi yang turut disertai EXCO Pembangunan Anak Muda, Belia dan Sukan Mohd Khairuddin Othman.

Beliau berkata pemberian insentif itu perlu dilakukan secara timbal balik untuk merangsang belia kerana mereka akan bergerak apabila menghadapi tekanan.

“Secara emosi dan psikologi, mereka mencari satu ketenangan pemikiran berdasarkan sumber pendapatan. Rangsangan ini membuat anak muda berusaha meneroka bidang baharu dan berasa yakin melakukannya kerana berpunca daripada imbuhan ekonomi,” katanya.


Pengarang :