Yong Kai Ping pada program bual bicara Selangor Pacu e-Dagang, Terajui Ekonomi di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 21 Disember 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sitec lahir 650 usahawan e-dagang, mahu perluas ke luar bandar

SHAH ALAM, 23 DIS: Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (Sitec) berjaya melahirkan 650 peniaga melalui platform itu sejak 2015.

Ketua Eksekutifnya Yong Kai Ping berkata agensi itu turut membantu seramai 90 pakar penyedia perkhidmatan dalam landasan digital ekonomi.

“Sitec menggalakkan lebih ramai peniaga menceburi e-dagang ketika dunia dilanda Covid-19 dan akan memperluas program ini ke kawasan luar bandar bagi memastikan tiada yang ketinggalan,” katanya pada program bual bicara anjuran Media Selangor di sini malam tadi.

Jelas Kai Ping, Sitec menyasar untuk membantu 100 lagi usahawan e-dagang tahun depan dan 30 pakar penyedia perkhidmatan dalam platform itu.

Katanya, agensi berkenaan turut mengadakan anugerah peniaga e-dagang bagi usahawan yang memiliki kualiti perkhidmatan, kreatif dan inovasi.

“Peniaga perlu bijak mempromosi produk mereka supaya 80 peratus pelanggan ulang beli sementara 20 peratus lagi mendapatkan pelanggan baharu,” kata Kai Ping lagi.

Sejak ditubuhkan, Sitec menganjurkan hampir 100 program bagi membantu usahawan menceburi perniagaan digital sesuai perkembangan masa kini.


Pengarang :