Siti Zubaidah Abd Jabar dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif baharu PKNS berkuat kuasa pada 2 Disember 2020 ini. Foto ihsan PKNS
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Siti Zubaidah dilantik CEO baharu PKNS berkuat kuasa 2 Disember

SHAH ALAM, 1 DIS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini mengumumkan pelantikan Siti Zubaidah Abd Jabar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, berkuat kuasa 2 Disember ini.

PKNS dalam kenyataan media berkata Siti Zubaidah yang betugas selama 32 tahun di PKNS mengambil alih jawatan itu daripada Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain apabila tamat tempoh perkhidmatan hari ini.

Sebelum dilantik mengetuai PKNS, Siti Zubaidah merupakan Ketua Pegawai Operasi PKNS pada ketika ini dan berkelulusan Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya dan pemegang Certified International Professional Manager, The International Professional Managers Association United Kingdom.

Sebelum ini beliau berkhidmat merentasi pelbagai bahagian di PKNS dan memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Korporat PKNS pada 2017 selain bertanggungjawab merancang dan melaksana Pelan Strategik 10 tahun PKNS 2020-2030 di samping menjadi nadi penggerak utama dalam Pelan Halatuju Jangka Pendek dan Jangka Panjang PKNS sejak 20 tahun lalu.

Siti Zubaidah juga merupakan presiden wanita pertama di Malaysia bagi Kelab Bolasepak apabila beliau diberi kepercayaan mengemudi Kelab Bolasepak PKNS pada 2014 sebelum dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Red Giant Sdn Bhd, syarikat swasta bagi Selangor FC mulai 2020.

 


Pengarang :