Kakitangan LUAS meninjau insiden pencemaran bau Sungai Kuang, Rawang susulan kebakaran kilang memproses plastik di kawasan berhampiran pada 30 Oktober 2020. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Skuad Pantas LUAS ronda 24 jam sehari elak pencemaran air

SHAH ALAM, 3 DIS: Skuad Pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang secara rasminya ditubuhkan dan beroperasi kelmarin akan melaksanakan pemantauan 24 jam setiap hari di kawasan sensitif dalam menangani masalah pencemaran sumber air mentah.

LUAS dalam satu kenyataan memaklumkan skuad berkenaan akan memantau sumber air di lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang bagi mencegah berlakunya pencemaran sumber air dan meminimumkan risiko henti tugas loji rawatan air (LRA).

Tambah kenyataan itu lagi, penubuhan Skuad Pantas LUAS berkenaan adalah selari dengan peruntukan Belanjawan Selangor 2021.

“Pemantauan tanpa henti ini bagi memastikan kelangsungan sumber air sentiasa terjamin dan terpelihara, skuad ini juga merupakan urus setia kepada Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Selangor yang bertanggungjawab menyelaras dan melaksanakan tindakan segera kawalan kecemasan sumber air selaras dengan Manual Pelan Tindakan Kecemasan Sumber Air Negeri Selangor.

“Fasa pertama penubuhan skuad diterajui seramai 15 kakitangan dan akan ditingkatkan sehingga 28 orang yang akan bekerjasama dengan Pengurusan Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah dan tanah serta agensi lain yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu skuad berkenaan akan menggunakan dua pendekatan dalam usahanya mencegah pencemaran iaitu rondaan 24 jam ke kawasan sensitif dan yang dikenal pasti di lembangan sungai utama dan pemantauan statik di kawasan strategik berisiko yang dikenal pasti.

“Pensampelan berkala seperti kajian kebersihan di lembangan sungai juga akan dilaksanakan bagi pemantauan status kualiti air seterusnya perancangan meningkatkan lagi tahap kualiti sumber air sungai-sungai utama negeri.

“Kerajaan Selangor melalui LUAS sentiasa komited dalam memastikan insiden pencemaran dapat dikekang dan ditangani dengan segera agar LRA beroperasi sebaiknya dan gangguan bekalan air kepada pengguna dapat dielakkan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :