AGENDANASIONAL

SPAN pastikan operator bekalan air ganti paip bermasalah

PUTRAJAYA, 30 DIS: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), akan memastikan operator bekalan air menggantikan paip bermasalah secara berjadual, bagi mengelak berlakunya insiden paip bocor atau pecah yang akan menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna.

SPAN dalam satu kenyataan menyatakan, pihaknya memantau rapi perancangan setiap operator bekalan air termasuk meluluskan projek penggantian paip di setiap negeri termasuk di Selangor, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pengguna.

“Program Penggantian Paip, merupakan salah satu aspek yang diberi perhatian oleh SPAN dalam semua perancangan Pelan Perniagaan operator bekalan air,” menurut SPAN dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan merujuk insiden gangguan bekalan air di 58 kawasan sekitar Shah Alam, Klang dan Petaling, yang berpunca dari masalah pada paip utama milik Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), yang berlaku hari ini.

Untuk rekod, SPAN menyatakan pada November lepas, pihaknya meluluskan Pelan Perniagaan dikemukakan oleh Air Selangor, yang turut menyenaraikan aktiviti bagi program penggantian paip berjumlah lebih RM500 juta, yang akan dilaksanakan Air Selangor dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

“Program penggantian paip yang dirancang ini, akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun bermula tahun 2020 hingga 2022 secara berperingkat, melibatkan penggantian kira-kira 150 kilometer (km) panjang paip agihan setahun dan 4,260 paip penghubung,” menurut kenyataan itu lagi.

Suruhanjaya itu menyatakan untuk rekod, jumlah panjang paip jenis Asbestos Cement (AC) yang masih digunakan dalam sistem agihan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah sekitar 6,205km atau 21.4 peratus daripada panjang keseluruhan rangkaian paip agihan iaitu 29,044km.

“Program penggantian paip bagi paip-paip yang mencapai usia perkhidmatan maksimum adalah sesuatu yang dirancang secara berjadual, oleh setiap operator bekalan air.

“Ini kerana paip ini berisiko tinggi untuk bocor atau pecah, akan menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna, dan pada waktu sama menyumbang kepada kadar Air Tidak Terhasil (NRW) yang tinggi,” katanya.

SPAN menyatakan, aktiviti menggantikan paip oleh operator akan mengambil masa dan dijalankan secara berperingkat, bagi tujuan mengelak gangguan bekalan skala besar dan kesabatan dan kefahaman pengguna amatlah diperlukan dan dihargai.

Sementara itu, SPAN menyatakan untuk rekod, kerajaan mensasarkan NRW pada paras 25 peratus untuk dicapai pada tahun 2030.

Berdasarkan rekod semasa, paras NRW Kebangsaan sehingga suku kedua 2020 adalah 36.9 peratus dan anggaran kerugian akibat NRW ini adalah sekitar RM2 billion setahun.

SPAN akan terus memantau aktiviti operator berdasarkan kelulusan diberi untuk pelan pembangunan dan penambah baikan terhadap kualiti perkhidmatan agar keperluan pengguna akan sentiasa dapat diutamakan.

Orang ramai juga diminta menggunakan air secara berhemat dan melaporkan kes disyaki melakukan kecurian bekalan air, serta sebarang aktiviti yang boleh mencemarkan sumber air kepada Bahagian Penguatkuasaan SPAN di talian +603-8317 9333 atau e-mel ke [email protected].

– BERNAMA


Pengarang :