Orang ramai mula beratur seawal jam 7 pagi untuk mengikuti program saringan Covid-19 yang diadakan di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

STFC: Kes masih tinggi, patuh SOP putuskan rantaian Covid-19

SHAH ALAM, 4 DIS: Masyarakat digesa patuh tatacara operasi piawai (SOP) bagi memutuskan rantaian Covid-19, kata Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Agensi tersebut berkata kes harian di negeri ini masih tinggi terutama berkaitan kluster sedia ada yang merekod 155 kes hari ini.

“Selain faktor kluster, kes Covid-19 di Selangor juga melibatkan 96 saringan kontak rapat, 69 saringan lapangan dan satu kes import.

“Jadi terus amalkan dan sentiasa berpesan kepada orang ramai tentang penjarakan fizikal, pakai pelitup muka serta basuh tangan secara kerap,” katanya menerusi Facebook hari ini.

STFC turut meminta orang ramai merujuk grafik kes Covid-19 mengikut mukim yang disediakan dalam tempoh 14 hari bermula 21 November hingga 4 Disember.

Selangor merekodkan 320 kes baharu hari ini manakala secara keseluruhan sebanyak 1,141 kes dilaporkan di Malaysia.

Kementerian Kesihatan juga mengesan empat kluster baharu di Lembah Klang iaitu Kluster Tapak Bina Muda melibatkan kawasan Titiwangsa, Lembah Pantai dan Kepong serta Kluster Tapak Bina Galeri di Lembah Pantai dan Cheras.

Kluster Bukit Dalam pula di Lembah Pantai serta Kluster Jalan Genting melibatkan daerah Titiwangsa di Kuala Lumpur dan Bentong, Pahang.


Pengarang :