Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENSISELANGOR

Sultan bimbang kes Covid-19 tinggi di Selangor – Tengku Permaisuri

SHAH ALAM, 11 DIS: Kes Covid-19 yang tinggi di Selangor menjadi kebimbangan utama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj setiap hari.

Perkara itu didedahkan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin apabila baginda sentiasa ingin mengetahui statistik terkini wabak berkenaan.

“Jikalah rakyat dapat menyaksikan betapa paniknya Tuanku bila melihat statistik kes harian, terutama bila kes di negeri ini meningkat. Soalan yang biasa ditanya Tuanku kepada saya setiap hari pada jam 6.30 petang “ahhh hari ni Selangor berapa ramai?”.

“Jadi, untuk rakyat di Selangor dan semuanya di Malaysia, ketahuilah anda semua di dalam doa baginda Tuanku, sentiasa…,” titah Tengku Permaisuri Norashikin menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Baginda berkongsi ingatan itu menerusi ucapan istimewa sempena Ulangtahun Hari Keputeraan ke-75 Sultan Selangor, hari ini.

Tengku Permaisuri Norashikin turut bertitah, sambutan kali ini jelas berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya berikutan tiada perayaan yang akan diadakan pada hari istimewa Sultan Sharafuddin.

“Sempena hari istimewa baginda Tuanku, patek terus mendoakan semoga ALLAH SWT melanjutkan usia Tuanku dalam keafiatan dan sentiasa berada dalam lindunganNya, serta hidup dengan penuh kebahagiaan, dikurniakan segala taufik dan hidayah semoga dapat memerintah Selangor dengan adil dan saksama,” titah baginda lagi.


Pengarang :