Potret Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah di atas mimbar
RENCANAWAWANCARA

Sultan di atas mimbar, popularkan qasidah

Foto Asri Sapfie

Perkembangan syiar Islam sentiasa mendapat perhatian khusus Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj baik dari segi pembangunan fizikal, kebajikan mahupun kerohanian.

Melalui moto baharu ‘Pertahan dan setia kepada agama Islam’ yang diumumkan pada 19 Ogos lalu, baginda giat meneruskan dakwah yang diusahakan keturunannya khususnya Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah.

Ketika memerintah antara 1898 hingga 1938, Sultan Selangor kelima mempelopori pendaftaran nikah-cerai, pelantikan mufti yang digelar Syeikhul Islam dan menubuhkan sekolah agama perempuan.

Sepanjang pemerintahan baginda, pertandingan qasidah dan pembinaan masjid rancak berlangsung selain turut menerbitkan beberapa kitab termasuk untuk kegunaan kanak-kanak.

Selain berkeperibadian warak, baginda juga berbakat dalam menjahit, melukis, bersyair dan meminati ukiran khat.

Dilahirkan pada 11 September 1865 di Kampung Tengah, Kuala Selangor, Sultan Alaeddin terkenal sebagai pemerintah yang mencintai pengetahuan.

Putera sulung dari lima beradik yang dibesarkan di Permatang Pasir mendapat pendidikan awal secara persendirian sebelum melanjutkan pengajian ke Raffles School di Singapura seterusnya Selangor Raja School, Kuala Lumpur.

Sultan Alaeddin kemudian dinobat sebagai Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor bagi mengisi kekosongan ayahandanya yang mangkat pada 11 September 1887, genap ketika berusia 22 tahun.

Masjid Diraja Sultan Alae’ddin

Mengikut ahli jawatankuasa Masjid Di raja Sultan Alae’ddin, minat baginda terhadap ilmu agama terbentuk sejak kecil susulan didikan mengenai Islam dan dakwah.

Setelah dimasyhur sebagai Sultan Selangor pada 17 Februari 1898, baginda meluluskan Undang-Undang Pendaftaran Nikah Kahwin dan Cerai Orang-Orang Islam dua tahun kemudian.

“Sebelum itu, tidak ada surat rasmi jika ada urusan nikah dan cerai tapi baginda buat supaya ada dokumen hitam putih dalam hal ini,” kata Anuar Ishak, 56, kepada SelangorKini.

Selain itu, antara langkah awal lain yang dilakukan baginda adalah membina Masjid Diraja Sultan Alae’ddin menggunakan duitnya sendiri bagi menggantikan Masjid Raja Muda berdekatan yang rosak teruk.

Qasidah

Anuar yang juga penjaga Makam Diraja Kampung Bandar menyatakan rumah ibadah yang dikenali sebagai Masjid Bandar dirasmikan penuh gilang-gemilang pada 18 Jun 1924.

Kedudukannya dengan tapak Masjid Raja Muda hanya 900 meter dan 11 minit berjalan kaki dari Masjid Diraja Sultan Alae’ddin. Namun kini masjid itu tidak ada lagi. Bersebelahan tapak itu ada Makam Diraja Kampung Bandar, pusara isteri Sultan Alaeddin iaitu Cik Hasnah Pilong. Hasnah juga bonda kepada Sultan Selangor keenam dan Yang di-Pertuan Agong kedua, Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj.

Baginda turut menyampaikan khutbah Jumaat termasuk Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha selain menghidupkan kegiatan berqasidah dalam kalangan rakyat. Pada masa ini, mimbar asal yang digunakan baginda untuk membaca khutbah masih terjaga rapi, cuma ditambah corak dan ukiran berbentuk bunga di bahagian tepi dan tangga.

“Pada masa kegemilangan masjid ini (ketika pemerintahan Sultan Alaeddin), penduduk kampung pada bulan puasa akan berbuka di sini.

“Lepas itu solat Maghrib, Isyak, Tarawih, tadarus dan habis saja mereka akan lawan qasidah pula sampai sahur bersama Sultan,” kata Anuar lagi.

Qasidah adalah nyanyian berbentuk puji-pujian kepada Allah manakala tadarus pula pembacaan al-Quran secara bergilir-gilir yang dilakukan berkumpulan.

Anuar menjelaskan ramai orang dari pelusuk negeri ketika itu datang ke situ untuk memperaga kehebatan masing-masing.

Sekolah agama

Baginda juga banyak memberi sumbangan dalam bidang pendidikan termasuk menubuhkan sekolah agama perempuan pertama di Selangor pada 1898 di Kampung Bandar. Sekolah itu kemudian bertukar menjadi sekolah kebangsaan.

Baginda pada waktu itu menegaskan jika golongan wanita tidak pandai menulis dan membaca al-Quran, siapakah yang akan bertanggungjawab pada kemudian hari?

“Ia dinamakan Sekolah Melayu Perempuan Bandar tapi akibat musibah air pasang besar di sini pada era 30-an mengakibatkan sekolah rosak dan terpaksa dipindah dari lokasi asalnya di hadapan (bertentangan) Istana Bandar ke tempat sekarang,” katanya.

Terletak 400 meter dari lokasi asal, sekolah yang ditubuh pada 13 Mac 1898 pada awalnya dinamakan Sekolah Melayu Bandar Dandan Bakly Raja tetapi kini ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Bandar.

Bangunan asal sekolah itu masih wujud hingga kini. Premis itu dijadikan pusat sumber yang menempatkan pelbagai buku dan foto berkaitan Kesultanan Selangor.

Sebenarnya, Sultan Alaeddin tumbuh membesar dengan bersahabat dengan ramai ulama antaranya Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, keturunan bangsawan Kesultanan Patani yang mengajar agama di Jambi. Beliau menerima pendidikan di Mesir.

Baginda kemudian menjemput Tengku Mahmud ke Klang pada 1929 dan dijadikan penasihat agama negeri dengan gelaran Syeikhul Islam Setia Diraja Selangor. Peranannya sama dengan mufti pada masa kini.

“Sultan sendiri datang ke Jambi untuk mengundang Tengku Mahmud supaya berhijrah ke Selangor dan membantu dalam perihal agama,” kata Anuar.

Mengikut beliau, baginda mengenali Tengku Mahmud di Mekah selain Azahari Abdul Khaliq, tokoh agama terkenal di Selangor yang juga datuk kepada bekas Ke-tua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan pelakon Jalaluddin Hassan.

Tengku Mahmud yang pernah mendirikan sekolah Tahtul Yaman di Indonesia berkhidmat di negeri ini antara 1929 hingga 1952.

Tulis kitab

Mengikut Mohd Nazir Kadir dari Jabatan Tahfiz, Kolej Pengajian Islam Johor, Larkin, Johor dan Mohd Hakim Mothar Rijan (Akademi Pengajian Islam Kolej Universiti Islam Melaka) pada 2018, baginda merupakan sultan pertama menghasilkan buku agama.

Kertas kerja bertajuk Sumbangan Sultan Alaeddin Sulaiman Dalam Institusi Agama Islam yang dihasilkan mereka juga menyebut buku-buku tersebut dijadikan rujukan sekolah-sekolah Melayu ketika itu.

Buku itu berjudul Kitab Pohon Ugama Bahagian Rukun Iman, Kitab Melatih Kanak-Kanak Laki-laki dan Perempuan dan (Nasehat (Pemilihan Guru) Melatih Kelakuan Perjalanan Adab Kanak-kanak Pelajaran).

Buku itu antara lain berkaitan akidah berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah melalui kaedah soal-jawab, penekanan adab murid dan himpunan puisi agama. Karya baginda turut disemak Tengku Mahmud yang turut memuji kandungan buku berkenaan.

 


Pengarang :