Keris Panjang Beruk Berayun
PENDAPATPERSONALITIRENCANA

Sultan Selangor miliki koleksi 1,000 keris

Keris yang dikatakan ditempa pandai besi dengan memicit-micit bilah yang masih panas antara koleksi unik milik Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Mengikut Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad, penulis buku Keris Indah: Koleksi Diraja Keris Nusantara, sekurang-kurangnya tiga bilah keris sedemikian ada dalam koleksi baginda.

“Dinamakan beko picit sebab bilahnya seperti buah beko iaitu sejenis kacang manakala picit sebab cerita orang dahulu kala, keris ini dibuat dengan memicit menggunakan jari bagi membentuk bilahnya,” kata beliau.

Berdasarkan buku tersebut, sembilan kesan lekuk picitan masih jelas kelihatan pada senjata tikam itu yang dikenali sebagai Keris Beko Picit.

Selain itu, baginda juga memiliki banyak koleksi lain dari Semenanjung Malaysia, Sumetera, Pulau Jawa, Bali-Lombok, Tanah Bugis dan Kalimantan antaranya Keris Sepukal, Keris Melela Lok Tiga, Keris Naga Raja Kinatah Sepuh Emas, Keris Panjang Cirebon – Tegal Lok Lima, Keris Sajen, Keris Putut Kembar, Keris Bugis Lok Tujuh dan Sundang Melayu Lok Tujuh.

Mengikut penulis Keris Indah: Koleksi Diraja Keris Nusantara tulisan Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad, Sultan Sharafuddin Sultan Sharafuddin memiliki koleksi keris berjumlah kira-kira 1,000 bilah, sebahagiannya sangat bermutu dan sukar ditemui.

Beliau mengambil masa lebih setahun untuk menyiapkan keseluruhan proses buku yang memperinci koleksi 70 keris. Berbangga dititahkan beliau enam kali berulang-alik ke Istana Mestika untuk menyiapkan buku itu. Pada masa ini, beliau dalam proses menyiapkan edisi kedua buku berkenaan.

Beliau menyifatkan usaha dokumentasi sejarah keris penting untuk generasi masa depan kerana bukan semua orang berpeluang melihat koleksi itu secara dekat.

“Cabarannya untuk mencari bahan bagi melengkapkan penulisan. Ini senjata lama, jadi ia bukan datang dengan penerangan terperinci. Koleksi keris tuanku pula bukan sahaja dari semenanjung tetapi nusantara.

“Jadi kita kena cari balik dalam buku dan rujuk pakar. Contohnya kalau keris Bali, maka kita kita kena dapatkan maklumat daripada sejarah Bali,” katanya kepada SelangorKini.

Keris diraja

Sememangnya, keris popular dalam kalangan masyarakat Melayu berbanding, lembing, kerambit, panah, golok, badik dan lela rentaka. Senjata itu dipercayai mula digunakan di nusantara antara 700 hingga 800 tahun lalu.

Keris Terapang Gabus (kiri) dan Keris Gading Putih Diraja

Ada bermacam-macam keris, bilah mahupun sarung, saling berbeza mengikut tempat pembuatannya. Selain digunakan dalam pertarungan, keris juga senjata hukuman dan digunakan dalam perubatan tradisional.

Sebenarnya, keris sarat dengan nilai estetika baik hulu, bilah mahupun sarung. Fungsinya juga pelbagai. Sejak dulu hingga kini, keris dianggap simbol maruah, kedaulatan dan kekuasaan.

Pada zaman moden, keris lebih menjurus kepada alat kebesaran diraja dan diguna pakai setiap kali istiadat penting berlangsung antaranya pertabalan dan kemahkotaan.

Keris Diraja Kerajaan Selangor terdiri daripada keris panjang diraja yang dinamakan Keris Panjang Beruk Berayun. Keris yang diperturun dari sultan ke sultan yang memerintah Selangor menggunakan hulu Bali manakala sampirnya berbentuk Madura. Mata keris pula lurus, tidak berlok.

Selain itu, ada dua keris pendek diraja iaitu Keris Terapang Gabus dan Keris Gading Diraja. Kedua-duanya dipakai dalam istiadat pertabalan dan kemahkotaan.

Keris Terapang Gabus turut dikenali sebagai Keris Tetali Emas. Bilahnya yang ditempa daripada besi Lela Pestaka dan ada tujuh lok. Hulunya disalut emas dan bertatah permata. Begitu juga sarungnya yang turut dilengkapi tali, juga bersalut emas. Batang serunainya dihiasi batu delima manakala kasutnya berbentuk kapak.

Keris Gading Putih Diraja yang juga dikenali sebagai Keris Gading Putih pula dipakai Sultan Selangor dalam upacara rasmi kerajaan. Bilahnya ditempa daripada besi lama. Sarungnya pula diperbuat daripada gading gajah bertatah emas. Terdapat lima bintang berbucu lima pada sampir. Lambang peribadi sultan menghiasi batang serunai. Tapaknya pula berbentuk tapak mahligai.

Keris Raja Muda

Raja Muda Selangor turut memiliki keris istiadatnya tersendiri iaitu Keris Panjang Raja Muda dan Keris Putut Pakaian Raja Muda.

Keris Panjang Raja Muda

Serunai Keris Panjang Raja Muda dibaluti emas berukir sepenuhnya dan dihiasi sebutir batu permata.

Sampir Seri Bulan pada keris ini diperbuat daripada kepingan emas, dihiasi lambang Raja Muda dan sebutir permata. Hulunya berbentuk Bali, dihiasi dawai perak, dipasang penutup hujung daripada emas dan dihiasi sebutir permata. Manakala pendokok diperbuat daripada emas berukir halus.

Keris Putut Pakaian Raja Muda pula berlok tujuh berpamor dengan ganjar tumpang berombak daripada emas. Batang serunainya pula diperbuat daripada kayu sena belak dihiasi pendok emas berukir bunga.

Sampir keris mirip gaya Kedah dan diperbuat daripada gading, dihiasi tiga butir bintang dan jata negeri Selangor. Hulu burung nuri diperbuat daripada gading berhias mahkota emas dengan sebutir permata.

Pendokok Keris Putut Pakaian Raja Muda bertatah permata, sementara kasut ekor lipas diperbuat daripada gading dihiasi emas.


Pengarang :