DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan titah ucapan ketika Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor sempena Hari Keputeraan ke-74 di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada 11 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan seru pemimpin pantau, bantu rakyat terjejas Covid-19

SHAH ALAM, 10 DIS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru pemimpin politik mengenal pasti masalah rakyat yang terjejas susulan Covid-19 dan berusaha keras mengatasinya.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah baginda turut sama merasakan penderitaan rakyat dan mahu kesejahteraan serta kemakmuran mereka terpelihara.

“Beta amat terkesan dan merasa simpati dengan kehidupan rakyat ketika ini.

“Beta sentiasa mengambil berat dan memantau masalah rakyat dengan sering mengingatkan Dato’ Menteri Besar dan kerajaan agar menyelami masalah rakyat serta mencari jalan bagi mengatasi masalah ekonomi yang dihadapi,” titah baginda dalam kenyataan disiarkan Facebook Selangor Royal Office.

Sultan Selangor bertitah pandemik Covid-19 banyak mengubah corak kehidupan seharian selain menjejaskan ekonomi negara dan seluruh dunia.

Titah baginda, keadaan itu menyebabkan ramai rakyat terjejas pendapatan dan hilang pekerjaan sekali gus menghadapi masalah kesempitan hidup.

“Beta mengharapkan rakyat terus bersabar dan tenang menghadapi dugaan serta berdoa agar musibah yang menimpa diangkat dan dikembalikan semula kehidupan kita seperti sediakala.

“Beta mohon agar rakyat beragama Islam untuk berdoa dan bersolat hajat manakala bagi yang bukan beragama Islam berdoa mengikut fahaman agama masing-masing,” titah baginda lagi.

 


Pengarang :