Prof Diraja Ungku Abdul Aziz, 98, menghembuskan nafas terakhir kira-kira 4 petang pada 15 Disember 2020 di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur. Grafik Sumber: Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan zahir takziah kepada keluarga Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz

SHAH ALAM, 15 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan ucapan takziah kepada waris Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang meninggal dunia petang tadi.

Dalam titah perutusan, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj dan Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa sedih serta dukacita dengan pemergian Allahyarham ke Rahmatullah pada usia 98 tahun.

Baginda berdua yang mengenali Allahyarham sebagai seorang tokoh pendidikan dan pembangunan ekonomi Melayu serta umat Islam mengakui kagum dengan pemikiran, aspirasi termasuk idea Ungku Abdul Aziz yang merentas masa dan zaman.

“Baginda sentiasa mengikuti rapat pandangan-pandangan dan buah fikiran Allahyarham semasa hayatnya dalam pelbagai isu yang dekat dengan rakyat jelata yang seharusnya diteladani.

“Secara peribadi, baginda juga mengenali dan pernah bertemu Allahyarham yang turut mempunyai kediaman berhampiran Istana Pantai Bahagia di Morib serta anak Allahyarham iaitu bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz,” titah baginda menerusi perkongsian di Facebook Selangor Royal Office.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin turut mendoakan supaya roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah serta ditempatkan dalam kalangan solihin.

Ungku Abdul Aziz menghembuskan nafas terakhir kira-kira 4 petang tadi di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur akibat sakit tua.

Allahyarham yang dilahirkan di London, United Kingdom pada 28 Januari 1922 adalah seorang tokoh negara paling disegani.


Pengarang :