Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj bersama Tengku Permaisuri Norashikin berkenan memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah di Masjid Ar-Rahah, Kerinchi pada 19 Disember 2020. Foto Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan zahir takziah, sifatkan Tun Rahah isteri terbaik

SHAH ALAM, 19 DIS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyifatkan Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah isteri terbaik kepada seorang perdana menteri dan ahli politik.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah keperibadian Allahyarhamah yang dikenali baginda sejak 1968 wajar menjadi contoh kepada semua pihak.

Baginda turut berharap jasa Allahyarhamah dikenang rakyat dan sifat murninya diteladani.

“Baginda mengenang kembali keperibadian Allahyarhamah yang mudah mesra dan sering tersenyum serta menjadi tulang belakang dan pendorong utama karier politik Allahyarham Tun Abdul Razak semasa hayatnya.

“Baginda turut mengagumi ketabahan Allahyarhamah sebagai seorang ibu yang berjaya membesarkan anak-anaknya sejak kehilangan suami tercinta pada 1976,” titah baginda melalui Facebook Selangor Royal Office.

Sultan Selangor turut menzahirkan rasa sukacita apabila perdana menteri bersetuju memberikan penghormatan Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara.

Sebelum itu, baginda bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Tun Rahah di Masjid Ar-Rahah, Kerinchi.

Tun Rahah, 87, yang juga ibu kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court petang semalam.


Pengarang :