Reaksi seorang penduduk yang meninjau proses saringan ujian Covid-19 yang dijalankan oleh petugas kesihatan di kawasan yang dikenakan PKPD ketika tinjauan di Flat Sungai Emas, Kuala Langat pada 29 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tahap kesihatan rakyat meningkat namun tidak sekata – KRI

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Tahap kesihatan rakyat Malaysia meningkat berbanding beberapa dekad lalu namun peningkatan itu didapati berlaku secara tidak sekata bagi setiap lapisan masyarakat, demikian menurut laporan terkini Khazanah Research Institute (KRI).

Dalam laporan bertajuk “Social Inequalities and Health in Malaysia: The State of Households 2020 Part III” (Ketidaksamaan Sosial dan Kesihatan di Malaysia: Kedudukan Isi Rumah 2020 Bahagian III) yang dikeluarkan KRI hari ini menunjukkan rakyat Malaysia kini hidup lebih lama.

Secara purata, bayi lelaki dan perempuan yang lahir pada 2020 masing-masing dijangka hidup selama 72.6 dan 77.6 tahun, 11 tahun lebih lama berbanding bayi yang lahir pada 1970, menurut laporan itu.

Peningkatan jangka hayat ini adalah hasil pengurangan kadar kematian termasuk kadar kematian kanak-kanak dan ibu bersalin.

“Sebagai contoh, pada 1970, kadar kematian dalam kalangan bayi berumur kurang daripada 28 hari (kadar kematian neo natal) ialah 21.4 bagi setiap 1,000 kelahiran dan kadar ini telah menurun kepada 4.1 pada 2019.

“Selain itu, nisbah mortaliti ibu bersalin menurun daripada 140.8 kematian bagi setiap 100,000 kelahiran pada 1970 kepada 21.1 pada 2019,” menurut laporan itu.

Laporan dilancarkan secara maya hari ini itu melihat faktor sosial mempengaruhi hasil kesihatan rakyat Malaysia.

Di samping itu, laporan itu juga mendapati peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia adalah tidak sekata.

Sebagai contoh, bayi lelaki yang lahir di Sarawak atau Kuala Lumpur pada 2020 dijangka hidup 74 tahun berbanding 69 tahun bagi bayi lelaki yang lahir di Perlis, Terengganu atau Kelantan pada tahun yang sama (perbezaan 5 tahun), menurutnya.

“Perbandingan jangka hayat Malaysia dengan negara-negara pada tahap pembangunan serupa turut menunjukkan masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.

“Walaupun Malaysia mempunyai jangka hayat yang hampir sama dengan Mexico dan lebih tinggi daripada Turki serta Thailand pada 1990, namun negara tersebut melepasi Malaysia dengan jangka hayat yang lebih tinggi pada 2019,” menurut laporan itu.

-BERNAMA


Pengarang :