AGENDAALAM SEKITAR & CUACANASIONAL

Tanam pokok di rumah, selamatkan bumi melalui ‘Go Green 2020’ 12 Dis

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Rakyat terutamanya generasi muda digalakkan menanam pokok di rumah mereka untuk menyelamatkan bumi dengan menyertai acara secara maya ‘Go Green 2020-A Voice of Nation’ pada 12 Disember ini.

Duta elit acara itu Dr Nisha Thayananthan berharap acara dianjurkan negara ini buat pertama kali tersebut dapat membantu pelajar sekolah dan universiti menyedari kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar serta bersedia menangani cabaran yang muncul akibat pemanasan global dan perubahan iklim.

“Melalui acara ini, para peserta akan menanam anak pokok, melafazkan ikrar Go Green dan menyanyikan lagu Go Green (lagu digubah khas untuk acara ini yang menggambarkan perpaduan pelbagai budaya di Malaysia).

“Acara yang dibuka kepada semua rakyat Malaysia akan berlangsung secara maya dari 9 pagi hingga 9 malam pada 12 Disember dan para peserta hanya memerlukan 10 hingga 15 minit untuk menjalankan ketiga-tiga aktiviti ini dari rumah masing-masing,” katanya kepada Bernama di sini.

Dr Nisha yang juga Miss Earth Malaysia 2020/21, berkata peserta boleh mendaftar secara percuma di www.gogreenvoiceofnation.com dan merakam ketiga-tiga aktiviti itu menggunakan telefon bimbit serta memuat naik video tersebut di akaun YouTube masing-masing sebelum menghantar pautan video kepada [email protected].

“Kita mungkin berkurung di rumah dan kita mungkin berasa tidak berupaya melawan Covid-19 tetapi kita masih boleh mengambil langkah positif untuk planet ini dengan menanam pohon bagi menjamin kelestarian yang lebih baik pada masa depan.

“Keutamaan saya sekarang ialah menjadikan Malaysia sebagai tempat tinggal yang lebih hijau dan lebih baik dengan mempromosikan kesejahteraan,” kata doktor perubatan itu yang kini bertugas di Hospital Putrajaya.

Dr Nisha secara simbolik menanam pokok pertama bersempena acara itu di pekarangan Flamingo Hotel by The Lake, di sini semalam.

Acara yang dianjurkan secara bersama oleh Sethurams Sruthilaya Arts Academy dan SSAA Go Green, itu akan diiktiraf oleh Imperial World Records and Awards sebagai ‘Nyanyian Pelbagai Bahasa Terbesar berkaitan Go Green dalam tempoh 12 jam’.

Sebanyak 250,000 anak pokok dijangka dapat ditanam oleh pelajar dan ibu bapa daripada hampir 500 institusi pendidikan termasuk sekolah, institusi latihan perguruan, kolej dan universiti.

-BERNAMA


Pengarang :