AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Terima air berperingkat, agihan di tujuh wilayah sedang distabilkan

SHAH ALAM, 8 DIS: Pengguna di tujuh wilayah yang terjejas akibat henti tugas empat loji rawatan air (LRA) dijangka menerima semula bekalan air secara berperingkat-peringkat apabila bekalan distabilkan.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjelaskan proses menstabilkan sistem agihan bekalan air di Kuala Lumpur, Petaling, Klang-Shah Alam, Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Langat sedang giat dijalankan.

“Air Selangor mendapati sistem agihan bekalan air berada dalam keadaan tidak stabil. Kebanyakan tangki air di kawasan perumahan mengalami penyusutan yang mendadak, tekanan air rendah dan bekalan tidak stabil.

“Pengguna yang terjejas dijangka menerima bekalan air yang stabil bermula jam 3 petang hari ini secara berperingkat,” kata Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri dalam kenyataan.

Air Selangor menyediakan bantuan bekalan air dengan menggerakkan lori tangki ke 861 kawasan terjejas dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

“Kami amat memahami situasi para pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ini dengan mengambil segala usaha bagi mengurangkan impak gangguan kepada pengguna terjejas,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com atau aplikasi Air Selangor. Mereka juga boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi syarikat itu di media sosial Facebook, Instagram dan Twitter.

LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran air Sungai Selangor mulai tengah malam tadi. Namun dalam tempoh lima jam, semua loji ini berjaya beroperasi semula selewat-lewatnya jam 5 pagi tadi.

Kawasan-kawasan yang menerima air berperingkat selepas bekalan distabilkan seperti dimuatkan di Facebook syarikat berkenaan.

 


Pengarang :