AGENDANASIONAL

TH: Ibadah haji tahun depan belum diputus, jangan percaya berita tular

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Sebarang butiran pelaksanaan ibadah haji bagi umat Islam Malaysia tahun hadapan masih belum diputuskan, tegas Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Sehubungan itu Syed Saleh meminta orang ramai, supaya tidak terpengaruh dengan mana-mana maklumat berkaitan pelaksanaan ibadat haji 2021M/1442H yang tular di media sosial, sejak beberapa hari yang lalu.

“Pihak kami masih belum menerima sebarang makluman rasmi berkaitan dengan urusan ibadat haji untuk tahun 2021M/1442H, dari pihak berkuasa Arab Saudi.

“YB Menteri (Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri) dan pengurusan kanan TH dijangka akan mengadakan mesyuarat dengan Menteri Haji Arab Saudi dan Menteri Agama Arab Saudi pada awal tahun hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Saleh berkata, TH akan mengumumkan keputusan perbincangan dan kesepakatan yang akan diambil oleh pemimpin kedua-dua negara, berkaitan dengan isu berkenaan.

Mesej dipercayai tular selepas Muzakarah Haji yang telah diadakan secara dalam talian (Webinar) selama tiga hari bermula 21 Disember lalu.

Mesej yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp itu mengandungi butiran haji tahun hadapan termasuk jadual penerbangan, tarikh wukuf, kuota jemaah, kos haji yang didakwa meningkat, serta tatacara operasi piawai (SOP) yang perlu diikuti kerana penularan Covid-19.

Sementara itu, Syed Saleh sekali lagi menegaskan supaya orang ramai merujuk hanya kepada TH bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan rasmi berkenaan ibadah haji.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan (THCC) TH di 03-62071919.

Berikutan penularan pandemik Covid-19, kerajaan sebelum ini memutuskan ibadat haji tahun ini ditangguh ke tahun hadapan.

– BERNAMA


Pengarang :