Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (tengah) menyaksikan majlis menandatangani dokumen antara Pengarah Eksekutif Pelaburan Lembaga Tabung Haji Hizamuddin Jamalluddin (duduk, kiri) dan Pengarah Urusan Damansara Assets Sdn Bhd Hazman Hilmi Sallahuddin (duduk, kanan) pada Majlis Menandatangani Tawaran Pembelian Menara VSQ 1 antara Lembaga Tabung Haji dan Bukit Damansara Development Sdn Bhd pada 21 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

TH mulakan strategi pelaburan 3R, tumpu peruntukan aset baharu

PETALING JAYA, 22 DIS: Lembaga Tabung Haji (TH) kini memulakan strategi pelaburan 3R — ‘Reshape, Restructure, Reenergise’ atau pembentukan semula, penstrukturan semula serta penjanaan semula dengan menumpukan peruntukan aset baharu bagi membolehkannya meraih pendapatan stabil dan berterusan.

Pengarah Eksekutif Pelaburan TH Hizamuddin Jamalluddin berkata kekuatan TH bergantung kepada peruntukan aset strategik dan selepas langkah penstrukturan semulanya, dana berkenaan telah memberi fokus ke atas empat kelas aset iaitu pasaran wang, instrumen pendapatan tetap, ekuiti dan hartanah.

Pada masa ini, aset-aset di bawah pengurusan TH berjumlah kira-kira RM79 bilion yang mana 54 peratus daripadanya diperuntukkan bagi pendapatan tetap yang meliputi bon serta sukuk.

“Sebanyak 22 peratus lagi atau RM17.26 bilion dilaburkan dalam pasaran ekuiti khususnya saham-saham mampan manakala sembilan peratus dalam hartanah yang berjumlah RM7.09 bilion. Baki 15 peratus atau RM12.7 bilion pula membabitkan pasaran wang.

“Dalam tiga tahun akan datang, kerajaan telah meluluskan peruntukan aset baharu TH meliputi pendapatan tetap pada 58 peratus, hartanah (11 peratus), ekuiti domestik (18 peratus), ekuit global (lima peratus), ekuiti persendirian (tiga peratus) dan pasaran wang sebanyak lima peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pemeteraian perjanjian antara TH dengan anak syarikat milik penuh Johor Corporation (JCorp) membabitkan pembelian bangunan pejabat 20 tingkat, Menara VSQ 1 pada harga RM147 juta di sini, semalam.

Majlis itu telah disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Hadir sama, Pengerusi TH Tan Sri Md Nor Yusof dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif JCorp Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim.

Sementara itu, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata pelaburan hartanah baharu itu dijangka menjana pulangan sebanyak 5.5 peratus, disokong oleh kadar penghunian penuh serta perjanjian sewaan bagi jangka panjang.

“TH sebagai pemegang amanah para pendeposit, akan terus meninjau peluang bagi mencatat pelaburan baharu sama ada secara langsung atau sebaliknya untuk meningkatkan portfolio hartanah yang dapat menyalurkan pendapatan stabil dan berterusan.

“Ini akan turut memberi pulangan yang mampan untuk sembilan juta pendeposit dengan jumlah deposit setakat November tahun ini mencecah RM75.58 bilion iaitu yang tertinggi pernah dicatatkan,” katanya kepada pemberita.

Nik Hasyudeen turut menyifatkan TH berada di landasan tepat dengan jumlah asetnya mengatasi liabiliti.

Namun, tegasnya, TH akan terus berhati-hati terhadap prospek pelaburan berikutan keadaan ekonomi semasa yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

– BERNAMA


Pengarang :