Hanya peserta yang dijemput sahaja dibenarkan menghadiri sesi temu duga program Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 15 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Tiada diskriminasi, peluang kerja terbuka untuk semua di Selangor

SHAH ALAM, 1 DIS: Kerajaan Negeri tidak pernah mendiskriminasi mana-mana individu termasuk bekas banduan yang mahu mendapatkan peluang pekerjaan menerusi Jelajah Selangor Bekerja 2020.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata sebaliknya peluang diberi sama rata bagi membolehkan individu terbabit memperoleh pekerjaan bersesuaian.

“Kita buka ruang kepada semua dan tiada isu langsung mengenai status sama ada seseorang itu adalah bekas banduan kerana hanya mereka sendiri yang tahu (latar belakang).

“Galakan banduan untuk buat permohonan dan hadir ke temu duga satu perkara yang harus dipuji. Paling tidak dia (banduan) ada inisiatif untuk berdikari maka inilah tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memberikan platform kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara: Peluang Kerja, Gilap Potensi Anak Muda yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Program Jelajah Selangor Bekerja 2020 anjuran Kerajaan Negeri berlangsung di lima lokasi bermula di Kuala Selangor pada 15 November, Gombak (21 November), Sungai Buloh (22 November), Hulu Langat (29 November) serta Shah Alam (5 dan 6 Disember).

Antara peluang pekerjaan ditawarkan adalah profesor, pensyarah, tutor al-Quran, akauntan, pengurus jualan, pegawai penyelidik, juruteknik, pembaca meter, operator panggilan, pemandu traktor terminal, penyelia dan penjaga stor.

Mohd Khairuddin menambah pihaknya akan meneliti cadangan mengadakan karnival sama dengan menumpukan peluang pekerjaan kepada peserta yang mempunyai kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.

“Kita akan ambil kira suasana ketidakselesaan membabitkan peserta di peringkat SPM supaya ada padanan pekerjaan. Mungkin kita akan jalankan karnival mengikut kelayakan atau sesi temu duga secara dalam talian.

“Bagaimanapun, semasa siri jelajah di Hulu Langat ada juga sektor (majikan) yang mencari peserta dalam kalangan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM,” katanya.


Pengarang :