Kenderaan yang diparkir di pawagam pandu masuk pertama di Bangkok, Thailand pada 2 Julai 2020, yang membolehkan orang ramai menonton filem susulan pandemik Covid-19. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Tiada gelombang baharu pandemik Covid-19 di Thailand

BANGKOK, 6 DIS: Thailand tidak berdepan gelombang baharu pandemik Covid-19 meskipun peningkatan jumlah kes jangkitan virus itu dikaitkan dengan rakyat Thailand yang kembali dari pekan Tachileik di sempadan Myanmar, kata seorang pegawai kanan kesihatan hari ini.

Pengara Jabatan Kawalan Penyakit Dr Sophon Iamsirithaworn berkata sejumlah 23 kes Covid-19 termasuk 11 di Chiang Rai, Chiang Mai (lima), Bangkok (tiga) serta masing-masing satu di Phichit, Phayao, Ratchaburi dan Sing Buri telah dikaitkan dengan pusat hiburan di Tachileik sejak akhir bulan November.

“Kami bukan berdepan gelombang kedua Covid-19 kerana kebanyakan kes diimport dari negara jiran (Myanmar). Sehingga kini, sekurang-kurangnya dua kes jangkitan tempatan dilaporkan dan kami berjaya mengesan kontak rapat mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 28 November lepas, seorang wanita rakyat Thailand yang kembali dari Myanmar dan mengelak pusat pemeriksaan serta kuarantin wajib telah diuji positif Covid-19 beberapa hari selepas itu.

Susulan pengesanan kontak, pihak berkuasa kesihatan awam mendapati terdapat lebih ramai wanita Thailand yang menyeberangi sempadan itu dan mengelak kuarantin wajib.

Setakat ini, Thailand telah melaporkan sejumlah 4,086 kes Covid-19 dengan 60 kematian.

Sepanjang tempoh 24 jam lepas, sejumlah 14 kes baharu Covid-19 dilaporkan termasuk satu jangkitan tempatan membabitkan seorang wanita berusia 26 tahun yang bekerja di sebuah pusat kuarantin alternatif negara (ASQ) di Bangkok.

Daripada 14 kes baharu itu, tiga adalah rakyat Thailand yang memasuki negara itu dengan menyeberangi sempadan iaitu seorang wanita berusia 26 tahun yang bekerja di sebuah pusat hiburan di Tachileik, seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun dan seorang wanita berusia 26 tahun yang melakukan perjalanan ke Mae Sai di Chiang Rai.

Sementara itu, Gabenor Chiang Rai Prajon Prachsakul berkata sembilan lagi kes Covid-19 telah dilaporkan di wilayah tersebut dan tidak termasuk dalam jumlah hari ini.

Beliau berkata kesemua pesakit baharu terdiri daripada wanita rakyat Thailand berusia lingkungan 20 hingga 44 tahun serta bekerja di pusat hiburan yang sama di Tachileik dan kembali ke negara itu secara sah.

“Kesemua pesakit baharu tinggal dan bekerja di venue sama dengan kes-kes yang telah disahkan sebelum ini yang kembali dari Tachileik,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :