Penghuni dan pekerja di kawasan Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 12 Nov sehingga 25 November depan dilihat memberikan kerjasama yang baik kepada petugas-petugas kesihatan untuk menjalani saringan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tiga bekas pesakit Covid-19 di Terengganu sertai kajian rawatan

KUALA NERUS, 24 DIS: Tiga bekas pesakit Covid-19 di Terengganu sudah menyatakan kesediaan untuk menyertai program kajian rawatan Covid-19 dan seorang daripadanya sudah menderma plasma darah untuk tujuan itu, kata Ketua Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Dr Mohd Muhaimin Kambali.

“Setakat ini, kerjasama daripada bekas pesakit Covid-19 yang sanggup menderma plasma itu adalah memuaskan. Namun, tidak semua layak untuk menderma plasma ini kerana perlu memenuhi kriteria yang sesuai termasuk kandungan antibodi dalam darah dan perlu memenuhi kelayakan asas untuk menderma darah,” kata Dr Mohd Muhaimin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program derma darah Raia Hotel dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu dan Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mohd Muhaimin berkata trend menderma darah di Terengganu menunjukkan penurunan sejak awal bulan ini dan ia dikhuatiri akan menyebabkan stok darah terus merosot.

Beliau berkata kebiasaannya mereka memperoleh purata antara 300 hingga 400 beg darah setiap minggu namun berkurangan kepada 150 beg kebelakangan itu.

“Tambahan pula ramai penuntut Intitusi Pengajian Tinggi Awam tidak berada di kampus ketika ini, mereka juga adalah antara penyumbang terbesar stok darah HSNZ.

“Status bekalan darah ketika ini masih mencukupi dan kami berharap lebih banyak program sebegini akan dilakukan dalam masa terdekat untuk menampung penggunaan purata darah sebanyak 1,500 beg setiap bulan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata kesibukan dalam mengurus banjir di negeri itu bukanlah halangan untuk anggotanya menderma darah hari ini.

“Program derma darah APM Terengganu dijalankan sebanyak empat kali dalam setahun. Ini juga adalah sebahagian tanggungjawab sosial kami kepada masyarakat khususnya pesakit yang memerlukan,” katanya yang menderma darah sebanyak 78 kali setakat ini.

-BERNAMA


Pengarang :