Tiga beradik warga Malaysia Muhammad Adam Danel Mohd Rozi, 11, Muhammad Arash Raihan, 7, dan Muhammad Muhaimin Putra, 3, terkandas selama lapan bulan di Thailand bersama ibu mereka, Sakina Museh ketika ditemui di rumah sewa mereka di Daerah Raman, Yala, Selatan Thailand. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Tiga beradik terkandas di Thailand dijangka pulang ke Malaysia esok

YALA, 20 DIS: Tiga beradik warga Malaysia yang terkandas di Thailand sejak bulan Mac lalu apabila sempadan Thailand-Malaysia ditutup dalam usaha membendung penularan Covid-19, dijangka pulang ke tanah air esok.

Selepas sembilan bulan terkandas di Thailand, tiga beradik – Muhammad Adam Danel Mohd Rozi, 11, Muhammad Arash Raihan, 7, dan Muhammad Muhaimin Putra, 3, bersama ibu mereka Sakina Museh, 38, yang merupakan warga Thailand akan memasuki Malaysia melalui pintu sempadan Sg Kolok-Rantau Panjang.

“Saya sangat bersyukur dengan bantuan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan kerajaan Thailand yang menghulurkan bantuan kepada kami sekeluarga untuk pulang ke Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Sakina membawa ketiga-tiga anaknya pulang ke Thailand untuk memperbaharui visa pada 16 Mac lalu apabila tiada orang menjaga mereka di Malaysia selepas suaminya meninggal dunia pada September tahun lalu akibat kanser.

Beliau berkata kerajaan Malaysia mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menutup pintu sempadan mulai 18 Mac.

Selain itu, kos memasuki semula Malaysia agak tinggi bagi mereka kerana terpaksa menanggung kos menjalani kuarantin selama 14 hari dan ujian saringan Covid-19 menyebabkan Sakina dan tiga anaknya terus menetap di Yala.

Semalam, wakil Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Sarizal Ramli menyampaikan berita gembira kepada empat beranak itu bahawa mereka bakal pulang ke Malaysia pada Isnin.

Selain itu, beliau turut menyerahkan Sijil Perakuan Cemas kepada tiga beradik itu serta menghulurkan sumbangan.

Beliau berkata empat beranak itu akan menjalani ujian Covid-19 dan kuarantin sebaik tiba di Malaysia.

Tiga beradik jtu dijangka memulakan sesi persekolahan pada tahun depan dan Zakat Selangor akan terus membantu mereka.

– BERNAMA


Pengarang :