Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merobohkan premis yang didirikan tanpa kebenaran atas rizab lembangan Sungai Selangor di Rawang pada 8 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tiga lagi premis tanpa izin diroboh, elak cemar air

RAWANG, 8 DIS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merobohkan tiga lagi struktur yang didirikan tanpa kebenaran di Kuala Garing di sini hari ini bagi mengelakkan pencemaran sumber air.

Yang Dipertuanya berkata bengkel jentera berat, kilang kitar semula dan kandang ternakan lembu itu beroperasi secara haram sejak 15 tahun lalu atas rizab tanah kerajaan yang terletak kira-kira 10 meter dari Sungai Rawang.

“Asalnya tanah ini mempunyai pemilik tetapi pajakan sudah tamat tempoh maka menjadi hak milik Kerajaan. Jadi, ada pihak mempertikaikan dengan mendakwa ia tanah persendirian.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merobohkan premis yang didirikan tanpa kebenaran atas rizab lembangan Sungai Selangor di Rawang pada 8 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Susulan itu, MPS serta Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak mengeluarkan beberapa kali notis pengosongan kawasan ini termasuk kali terakhir pada minggu lepas namun mereka tidak mengendahkan arahan diberikan.

“Mereka mungkin cuba memohon lesen menduduki sementara tetapi lesen tersebut untuk bengkel yang tidak diluluskan oleh kerajaan sahaja. Tambahan pula, kesemua premis ini berdekatan sungai,” kata Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau operasi perobohan diketuai PTD Gombak dan dibantu pihak berkuasa tempatan itu termasuk polis, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Tindakan dibuat mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 kerana menceroboh tanah kerajaan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor bercakap kepada media selepas operasi merobohkan premis yang didirikan tanpa kebenaran atas rizab lembangan Sungai di Rawang pada 8 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Shamsul Shahril menambah hanya sebahagian struktur bengkel jentera berat dirobohkan hari ini memandangkan pemilik memohon tempoh untuk mengalihkan kenderaan terbabit.

“Kita beri masa sehari atau dua hari untuk mereka berbuat demikian kerana faham kos mesin digunakan agak mahal namun tindakan penguatkuasaan akan terus diambil sekiranya gagal.

“Sebelum ini ada juga premis yang diberi notis memohon penangguhan untuk mengalihkan sendiri malah kita menggalakkan mereka (pemilik premis) mengosongkan sendiri supaya tiada kerosakan berlaku,” katanya.

Pada 1 Disember lalu, pihak berkuasa tempatan itu menyita sebuah kilang penyelenggaraan jentera berat yang beroperasi secara haram di atas tanah rizab sungai di sini.

Manakala, pada 24 November, dua bengkel menyimpan dan membaiki jentera berat yang terletak hanya satu meter dari Sungai Rawang turut dirobohkan.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak lapan premis yang dibina tanpa kebenaran di tebing Sungai Rawang akan diroboh.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari premis melibatkan enam bengkel jentera berat dan dua kilang kitar semula.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita sebahagian lembu serta merobohkan premis yang didirikan tanpa kebenaran atas rizab lembangan Sungai Selangor di Rawang pada 8 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :