Datuk Omar Sidek (kiri) menyampaikan sumbangan kepada pendayung sampan santuari kelip-kelip Sabarudin Manaf (kanan) di Dewan Siantan Majlis Daerah Kuala Selangor pada 17 Disember 2020. Foto ihsan TNB
AGENDANASIONAL

TNB bantu pendayung sampan kelip-kelip terjejas Covid-19

SHAH ALAM, 23 DIS: Seramai 36 pendayung sampan Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan, Kuala Selangor menerima sumbangan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Bantuan berjumlah RM25,500 disampaikan Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB Datuk Omar Sidek di Dewan Siantan Majlis Daerah Kuala Selangor pada 17 Disember lalu.

Omar dalam kenyataan berkata pihaknya peka terhadap keadaan ekonomi golongan itu yang kurang menerima pengunjung susulan penularan Covid-19.

“TNB menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka yang terjejas agar dapat bangkit semula dengan lebih kuat apabila keadaan mengizinkan,” katanya.

Pada 2005, syarikat tenaga itu memeterai kerjasama dengan Kerajaan Selangor bagi memulihara populasi kelip-kelip dan menjadikan kawasan itu sebagai kampung angkat.

Sebanyak RM5 juta disalurkan sejak 2007 bagi infrastuktur, promosi dan publisiti serta pembangunan ekonomi Kampung Kuantan.

Sementara RM2.8 juta diperuntuk antara 2017 hingga kini untuk penyelidikan dan pembangunan habitat kelip-kelip.

 


Pengarang :