BUDAYARENCANA

Tuan yang bernasib baik

Tuan,
kelmarin di jeti yang hampir roboh
bersaksikan anak-anak kecil di balik ilalang,
Tuan sempat memesan sebaldi ulat dan udang.
Kata Tuan,
“Kita akan makan besar hari ini.”
dan semuanya mengukirkan senyum yang indah
tanpa sebarang gusar dan gelisah.

Namun, semalam ketika kita sedang berlayar
ketika sama-sama di atas bot besar
saat Tuan menggenggam joran dan serek berlabel Daiwa,
sekonyong-konyong cerut di bibir Tuan rurut ke lantai.

“Lekas! Bot hampir karam!”
Itu pekikan terakhir orang kanan Tuan
sebelum dia terjun dari atas birai dan hanyut lemas ke tengah lautan.

Hari ini
nasib kami persis orang kanan Tuan semalam
dan Tuan pula mudik sendiri entah ke mana
selepas berpesan kepada kami,
“Kamu semua akan selamat.”

Tuan,
sekarang di jeti yang telah Tuan tinggalkan kelmarin dahulu
sedang diamuk penduduk kampung
ibu-ibu menggarung tidak keruan
menunggu kunapa yang sedang hanyut
membusuk dan membusung
disambar kawanan hering dan helang.

Tuan,
ada di mana Tuan sekarang?
di mana makan besar seperti yang sudah Tuan janjikan?

Tuan –
Tuan…

Muhamad Fazrin
Hutan Melintang


Pengarang :