Faktor untuk menamatkan perkhidmatan helikopter Nuri adalah kerana usianya melebihi 52 tahun, dan faktor keusangan kerana kebanyakan komponen serta alat ganti sudah tidak dikeluarkan kilang. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

TUDM tamatkan khidmat helikopter Nuri dalam lima tahun

SUBANG JAYA, 18 DIS: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menamatkan perkhidmatan kesemua helikopter Nuri dalam tempoh lima tahun, kata Panglima TUDM Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Beliau berkata antara faktor untuk menamatkan perkhidmatan helikopter itu adalah kerana usia Nuri yang berkhidmat melebihi 52 tahun, dan faktor keusangan kerana kebanyakan komponen serta alat ganti sudah tidak dikeluarkan kilang.

“Pihak kerajaan memutuskan untuk menamatkan Nuri kerana kos penyelenggaraan helikopter itu semakin tinggi, dan membuat TUDM menghadapi kesulitan untuk meneruskan pengoperasian.

“Faktor usia dan cabaran daripada aspek senggaraan secara langsung mengakibatkan kos pesawat semakin tinggi dan ‘downtime’ pesawat semakin panjang, apabila berlaku kerosakan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan TUDM Tahun 2020 di Pangkalan Udara Subang dekat sini hari ini.

Beliau berkata bagi penggantian Nuri, tender terbuka tempatan untuk penyewaan helikopter dibuka sejak 15 Oktober lepas dan ditutup semalam (17 Disember).

Ackbal berkata proses selanjutnya adalah untuk menilai tender, sebelum diputuskan syarikat tempatan mana yang akan dianugerahkan tender berkenaan.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa TUDM akan memperoleh pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircarft (FLIT/LCA), dalam tempoh tiga tahun ini.

Beliau berkata seiring dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55), pihaknya merancang untuk memperoleh sebanyak 36 pesawat (FLIT/LCA) secara berfasa, namun ia bergantung kepada kelulusan pihak kerajaan.

“Untuk keperluan TUDM dalam perolehan FLIT/LCA, pesawat platform tunggal dwi-fungsi ini perlu memiliki keupayaan yang seimbang, dalam melaksanakan peranan untuk latihan juruterbang pesawat pejuang dan pelbagai misi operasi.

“TUDM telah memohon peruntukan dari pihak kerajaan untuk perolehan Fasa 1 sebanyak 18 pesawat, melalui pendaftaran projek baharu 2021 dan permohonan untuk perolehan Fasa 2 bagi 18 pesawat lagi akan dilaksanakan, dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” katanya.

Terdahulu, Majlis Anugerah Kecemerlangan TUDM Tahun 2020 disambut secara norma baharu dan mencatatkan kelainan dalam penganjurannya, berikutan negara dilanda krisis pandemik COVID-19.

-BERNAMA


Pengarang :