Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memberi makanan kepada zirafah ketika mencemar duli melawat Zoo Negara pada 28 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

UEM Edgenta taja sepasang Zirafah Zoo Negara

KUALA LUMPUR, 12 DIS: UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) menaja sepasang zirafah dikenali sebagai Mas Boy dan Mas Kira sebagai haiwan angkat menerusi program ‘Adopt an Animal’ anjuran Zoo Negara.

UEM Edgenta dalam kenyataan semalam memaklumkan komitmen terhadap program ini adalah selaras dengan matlamat syarikat untuk menyokong pihak berkepentingan utamanya seperti Zoo Negara yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19 melalui aktiviti pembangunan komuniti yang positif dan berimpak tinggi.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Syahrunizam Samsudin berkata pihaknya amat berbangga dapat memainkan peranan sebagai warga korporat yang bertanggungjawab untuk bersama-sama membantu Zoo Negara dengan menaja sepasang zirafah yang comel.

“Inisiatif ini dapat memperluaskan komitmen UEM Edgenta dalam usaha ke arah kelestarian, serta mempromosikan amalan persekitaran, sosial dan tadbir urus yang baik bersama rakan strategik seperti Zoo Negara.

“UEM Edgenta berharap lebih banyak organisasi dan individu dapat tampil untuk membantu Zoo Negara bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan haiwan-haiwan ini,” katanya.

UEM Edgenta memberitahu zirafah spesies ‘Nubia’ itu atau nama saintifiknya Giraffa Camelopardalis dikategorikan sebagai satu daripada sembilan subspesies yang terancam di dunia.

Menurut Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar, populasi zirafah liar telah berkurang sebanyak 40 peratus sejak tiga dekad lepas dengan jumlah terkini kurang daripada 100,000 ekor.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Zoologi Malaysia Rosly @ Rahmat Ahmat Lana berterima kasih kepada UEM Edgenta atas sokongan ikhlas dan padu yang diberikan demi kesejahteraan zirafah dan juga membantu Zoo Negara menerusi program yang berimpak tinggi.

“Kami mengalu-alukan lebih banyak sumbangan daripada syarikat korporat dan orang ramai sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini. Sumbangan tersebut akan terus digunakan untuk menyediakan penjagaan yang sempurna kepada haiwan kami di zoo,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :