Sebahagian daripada 66 ekor penguin Afrika di Underwater World Langkawi. Dua penguin Afrika dilahirkan di pusat tumpuan pelancong itu Khamis lalu menjadikan jumlah penguin spesies tersebut bertambah kepada 66 ekor. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONALPELANCONGAN

Underwater World Langkawi sambut kelahiran dua anak penguin Afrika

LANGKAWI, 18 DIS: Underwater World Langkawi (UWL) menyaksikan kelahiran dua lagi anak penguin spesies Afrika, menjadikan keseluruhan 158 ekor penguin spesies itu dilahirkan di pusat tarikan pelancong tersebut sejak 2007.

Pegawai Veterinar UWL Dr Najmi Hazira Hamzah berkata kelahiran menerusi penetasan telur pada 10 Disember itu juga merupakan yang pertama untuk tahun ini.

“Kelahiran dua ekor burung akuatik ini menambah ahli keluarga penguin Afrika di UWL kepada 66 ekor,” katanya kepada Bernama.

Katanya anak penguin terbabit akan dipantau dan diajar untuk makan sehingga boleh berdikari sebelum dilepaskan dalam kurungan pameran.

Dr Najmi Hazira berkata selain penguin spesies Afrika, UWL turut memiliki 25 ekor penguin spesies Rockhopper,

Sementara itu, Kurator Kanan UWL Ariati Sari Ibrahim berkata pusat tersebut menerima kumpulan pertama sebanyak 18 ekor penguin pada 2005 daripada sebuah zoo di Amerika Syarikat dan menyaksikan kelahiran pertama di UWL pada 2007.

“Penguin spesies Afrika hidup di subtropika, jadi tidak memerlukan ais atau salji serta boleh bertahan dalam keadaan suhu hingga 27 darjah Celsius. Oleh itu di UWL kita tetapkan suhu antara 18 hingga 22 darjah Celsius untuk menempatkan penguin spesies tersebut,” katanya.

Beliau juga berkata UWL mengamalkan proses pembiakan normal iaitu induk terlibat dalam semua peringkat termasuk membesarkan anak terbabit.

-BERNAMA


Pengarang :