Peserta bergambar ketika Majlis Pelancaran dan Penyerahan Watikah Lantikan Pengarusperdanaan Gender (GM) Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 10 Mac 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Wanita PAKATAN Selangor sedia isi kuota 30 peratus ahli majlis

SHAH ALAM, 9 DIS: Pemimpin wanita Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor bersedia mengisi kuota 30 peratus ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) sesi 2021-2022.

Menerusi kenyataan bersama, ketua wanita gabungan tiga parti itu berkata seramai 84 calon menepati kriteria untuk menyandang jawatan tersebut.

“Kami yakin justifikasi ini mengambil kira rujukan polisi Kerajaan Negeri yang ditetapkan pada 2013 berhubung penglibatan wanita.

“Polisi ini menyediakan garis panduan kepada PBT untuk sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan wanita sebagai pembuat dasar,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat Selangor Rodziah Ismail, Ketua Wanita DAP Selangor Lee Kee Hiong dan Ketua Wanita AMANAH Rawiyiah Zakaria.

Mereka turut merakam penghargaan kepada Dato’ Menteri Besar yang komited melaksanakan polisi tersebut selain peruntukan RM71.3 juta untuk pembangunan wanita dalam Belanjawan 2021.

Pada 2 Julai, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata hampir 25 peratus wanita negeri ini memainkan peranan sebagai pembuat dasar dan keputusan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.


Pengarang :