Kelihatan warga emas hadir di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Taman Templer, Bandar Baru Selayang pada 8 Disember 2020 bagi mendapatkan baucar Jom Shopping SMUE. Foto Facebook Mohd Sany Hamzan
ADNSELANGOR

Warga emas, OKU Taman Templer terima baucar beli-belah RM100

SHAH ALAM, 11 DIS: Sebanyak 471 baucar Jom Shopping diagihkan kepada warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer.

Ahli Dewan Negeri Mohd Sany Hamzan berkata baucar beli-belah di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) sebanyak RM100 diberikan kepada mereka yang lahir pada bulan Disember.

“Semua penerima boleh menggunakan baucar tersebut untuk berbelanja di Pasaraya NSK Selayang mulai 14 hingga 20 Disember ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau memaklumkan agihan dibuat sejak 7 Disember hingga hari ini di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Taman Templer dari jam 9.30 pagi sehingga 1 petang.

Mohd Sany berkata inisiatif itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban golongan berkaitan terutama dalam mendepani cabaran pasca Covid-19.

Pada Mei tahun lalu, Kerajaan Negeri menamatkan pemberian khairat kematian berjumlah RM2,500 kepada warga emas susulan pelaksanaan pelarasan SMUE yang memperuntukkan RM100 setiap tahun kepada golongan berkenaan menerusi program Jom Shopping.

Belanjawan 2021 memperuntukkan sejumlah RM27.5 juta menerusi SMUE 2.0 dengan pemberian baucar Jom Shopping serta bantuan khairat kematian sebanyak RM500.


Pengarang :