Mohd Khairuddin Othman (dua, kanan) menyampaikan sumbangan barang keperluan asas kepada penduduk yang terjejas susulan Covid-19 ketika program Rakan Muda Prihatin “We Care” di Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh pada 6 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Warga emas terharu terima bantuan Rakan Muda Prihatin

SUNGAI BULOH, 7 DIS: Seramai 50 keluarga sekitar Paya Jaras meluahkan kegembiraan apabila terpilih menerima bantuan menerusi program Rakan Muda Prihatin “We Care” semalam.

Siti Salamah Zakaria. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Warga emas, Siti Salamah Zakaria, 59, berkata beliau terharu dan seakan tidak percaya apabila Ahli Dewan Negeri Mohd Khairuddin Othman sendiri turun padang menghulur sumbangan.

“Hari ini kali pertama wakil rakyat dan rombongan anak muda datang ke rumah saya menghulurkan bantuan, kami rasa seperti dihargai. Terima kasih di atas keprihatinan dan sumbangan yang diberikan,” katanya yang menjaga suami menghidap strok sejak tiga tahun lalu.

Seorang lagi penerima, Halimah Teh, 68, berkata bantuan keperluan asas seperti telur, beras, gula dan minyak masak sangat bermakna buatnya bagi meneruskan kelangsungan hidup selepas kehilangan suami dua tahun lalu.

Halimah Teh. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Alhamdulillah bantuan keperluan asas yang disumbangkan ini sedikit sebanyak melegakan golongan memerlukan seperti kami bagi menghadapi Covid-19,” katanya yang menjaga seorang cucu perempuan.

Program dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Selangor dihadiri Mohd Khairuddin yang juga EXCO pembangunan generasi muda dan sukan dan pembangunan modal insan.


Pengarang :