EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail mengunjungi kedai aksesori telefon bimbit, Cikgu Gadget di Sungai Besar ketika lawatan kembara sukses Hijrah pada 21 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Hijrah sediakan skim pinjaman beli alatan telekomunikasi

SABAK BERNAM, 22 DIS: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) merancang mewujudkan skim pinjaman pembelian perkakas seperti alatan telekomunikasi bagi melahirkan lebih ramai usahawan digital di negeri ini.

EXCO pembangunan usahawan berkata ia bakal dilaksanakan bermula tahun hadapan bagi memudahkan golongan berkaitan terutama di kawasan luar bandar.

“Bukan saja perkakas seperti alatan telekomunikasi tetapi kita juga boleh bantu membina sistem pembayaran e-dompet dan kaedah jualan dalam talian.

“Ini kerana Kerajaan Negeri menuju ke arah pendigitalan termasuk melibatkan usahawan, kita akan bantu mereka menerusi skim pinjaman ini yang akan diumumkan kelak,” kata Rodziah Ismail kepada SelangorKini selepas berkunjung ke Kedai Cikgu Gajet menerusi Kembara Sukses Hijrah 2020 di sini semalam.

Hadir sama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah, Normaiza Yahya.

Mengulas lanjut, Rodziah berkata, Hijrah menyasarkan 5,000 lagi usahawan akan dilahirkan sepanjang tahun hadapan.

“Tidak dinafikan, sepanjang Covid-19 terdapat penurunan jumlah peminjam Hijrah, ini mungkin kerana usahawan lebih berhati-hati namun dari sudut lain mereka sudah mula beralih kepada jualan dalam talian.

“Oleh itu kita akan membantu kumpulan ini untuk bersama-sama terus melangkah maju,” katanya.


Pengarang :