Selangorkini
AGENDA NASIONAL

YaPEIM lancar tabung bantuan ringankan beban kewangan Zoo Negara

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) melancarkan Tabung Bantuan Pemuliharaan Haiwan bermula hari ini hingga 28 Februari depan bagi membantu meringankan beban kewangan pengurusan Zoo Negara.

YaPEIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelancaran tabung itu sebagai tindak balas terhadap situasi penularan pandemik Covid-19 yang memberikan kesan kepada sektor pelancongan seperti Zoo Negara yang menjadi daya tarikan pelancong tempatan dan luar negara.

“Situasi semasa ini menyaksikan operasi Zoo Negara tidak dapat dijalankan seperti biasa dan kesan pemberhentian operasi juga memberi impak kepada semua haiwan yang terdapat di dalam Zoo Negara yang memerlukan makanan dan penjagaan harian.

“Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke dalam tabung yang disediakan di 203 cawangan Ar-Rahnu YaPEIM di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan bermula 2 Disember hingga 28 Februari 2021,” menurut kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan kos operasi Zoo Negara secara puratanya mencecah RM1 juta sebulan, meliputi pembayaran gaji kakitangan berjumlah RM400,000, keperluan makanan (RM350,000), bil elektrik (RM140,000) dan bil air RM40,000.

YaPEIM berharap usaha berkenaan akan mendapat sambutan daripada masyarakat serta pencinta haiwan sekali gus membantu meringankan beban pihak pengurusan Zoo Negara.

-BERNAMA


Pengarang :