BUDAYARENCANA

Za’ba angkal akal budi Melayu

Oleh Azar Ishak

Mengambil apa yang ditakrifkan oleh Profesor Linguistik Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Hashim Musa, ‘budi’ ialah akal dan daya fikir untuk memahami sesuatu perkara dan kebolehan untuk berdalil serta menyimpulkannya secara rasional. Ia juga boleh dimaknakan sebagai kepandaian, keupayaan dan kebijaksanaan yang mampu melahirkan seorang yang ‘budiman’. Sebenarnya, perkataan budi memang telah sebati dalam kehidupan masyarakat Melayu, sehinggalah munculnya perkataan seperti ‘akal budi’, ‘budi pekerti’, ‘balas budi’ dan sebagainya.

Mungkin sebab itu jugalah, seorang cendekiawan ulung Melayu, Zainal Abidin Ahmad atau Pendeta Zaba seringkali kali mengangkat ‘budi’ dalam banyak penulisannya. Zaba juga selalu sahaja menyebut budi yang dikaitkannya dengan agama dan sikap orang Melayu.

Lebih menarik, seperti mana yang pernah dikatakan oleh Pensyarah Pengajian Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (NUS), Dr Azhar Ibrahim, walaupun Zaba itu sering kali diangkat sebagai seorang ahli bahasa, tetapi secara realitinya penulisan Zaba mengenai agama Islam lebih banyak dari hal-hal berkaitan bahasa itu sendiri.
Akan tetapi malangnya, hanya kerana Zaba itu dilihat dan tidak digolongkan dalam kalangan ulama, amat jarang sekali wacana Islam beliau diangkat, waima di pusat-pusat pengajian Melayu sendiri.
Sebagai contoh, jika kita melihat penulisan Zaba dalam bukunya, “Mencapai Keluhuran Budi” yang pernah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ia sarat dengan saranan untuk ‘tahu’ dan ‘faham’ bagi mencapai apa yang disebutkan sebagai “keluhuran budi”.

Tingkat akal

Ketika Zaba membincangkan tentang agama, beliau tidak terburu-buru dalam mengajukan hukum agama, mengenai apa yang haram dan tidak, atau apa yang makruh dan harus. Sebaliknya, Zaba memulakan penulisannya itu tentang persoalan apa itu agama, mengapa perlu didatangkan agama, apakah agama yang sebenar dan peri pentingnya pengetahuan agama.

Cara Zaba inilah yang dikatakan sebagai sebenar-benar tingkat budi apabila akal diangkat untuk menilai sebab dan musabab sesuatu perkara, bukannya hanya bertaklid buta sahaja.
Seperti mana yang dikatakan oleh Zaba: “…pengetahuan agama dengan sifat yang sebenar-benarnya sangatlah mustahak diberi atau diperoleh bagi tiap-tiap seorang, supaya dapat mereka tahu akan dia dengan ‘tahu’ yang sampai mendapat isinya.”
Hal yang sama juga pernah disentuh oleh Muhammad Asad dalam karyanya Islam at the Crossroads bahawa agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW ini tidak pernah menghalang umatnya daripada menggunakan akal, malah Islam menghargai aktiviti intelektual manusia sehingga ke tahap menempatkannya mengatasi malaikat!
Dalam masa sama, keluhuran budi itu tidak akan tercapai juga tanpa peranan ibu bapa yang dianggap oleh Zaba sebagai teras awal pembentukan watak setiap manusia. Walaupun begitu, Zaba menyarankan supaya fikiran anak-anak itu tidak dikongkong, sebaliknya diberikan latihan kepada mereka untuk menggunakan akal fikirannya sendiri.
Bagi Zaba, itulah sebesar-besar tanggungjawab dalam berumah tangga – sehingga beliau berpesan, janganlah sekali-kali diberikan gambaran salah tentang perlunya ilmu itu hanya untuk hidup bersenang-senang dengan pangkat dan gaji besar sahaja.
Kata Zaba: “…belajar dan menuntut ilmu ialah supaya jadi pandai, bijak, berguna kepada manusia dan kepada dunia; supaya membaiki pihak hati, otak, fikiran, kebatinan, jiwa dan rohani; juga supaya dapat berbuat kebajikan kepada orang lain, bukan bagi faedah diri.”

Berjimat-cermat

Seterusnya, ada satu perkara yang cuba dibawa oleh Zaba dan hal ini jarang-jarang diperkatakan iaitu tentang berjimat-cermat, yang baginya sangat asing dan sukar diterapkan dalam jiwa bangsa Melayu.

Lebih keras lagi, Zaba mengatakan suruhan berjimat-cermat lebih menyusup masuk ke dalam sikap orang bukan Melayu-Islam seperti masyarakat Cina misalnya – yang tidak didatangkan Nabi kepada mereka. Sedangkan, orang Melayu-Islam yang telah didatangkan Nabi, al-Quran dan hadis ini sering melanggar ajaran itu.
Menurutnya lagi, berjimat-cermat itulah yang akan menyelamatkan bangsa ini di hari kemudian dan ia hanya diterima dalam kalangan manusia yang siuman akal fikirannya.
Zaba menulis: “Perangai jimat-cermat yang adil dan patut itu nyata kelebihannya kepada tiap-tiap orang yang siuman akal fikirannya.”
Sebenarnya, apa yang dikatakan oleh Zaba ini pernah juga dibangkitkan oleh sejarawan, Dr Ahmat Adam dalam satu ceramahnya di London pada 2012. Menurutnya, salah satu masalah utama Melayu adalah betapa liatnya mereka untuk menabung dan berjimat-cermat.
Hal itu nampaknya dibuktikan apabila dapatan statistik Jabatan Insolvensi mendapati kaum Melayu mencatatkan kes kebankrapan tertinggi antara tempoh 2015 hingga 2019, dengan jumlah 56 peratus atau bersamaan sebanyak 45,147 kes.

Keluhuran budi

Oleh itu, apa yang diungkapkan oleh Zaba ini dapat dilihat sebagai satu kesungguhan dalam menyeru orang Melayu tentang peri pentingnya keluhuran budi bagi menjamin kelangsungan bangsa. Zaba selaku seorang tokoh berjiwa besar, tetap teguh menyeru bangsanya untuk keluar dari penjajahan diri sendiri lewat pemahaman tentang agama, sikap dan cara hidup.

Tetapi, hal itu tidak sesekali mengeluarkan Zaba dari kerangka Islam, yang dilihatnya sebagai tiang seri kekuatan masyarakat Melayu. Baginya, kegemilangan dan kemerosotan manusia itu adalah disebabkan perbuatan manusia itu sendiri, dan tiada sebarang kaitan dengan Allah SWT sama sekali.
Kemerosotan ini baginya disebabkan salah faham mereka tentang dunia dan agama, kemalasan mereka dan keterbelakangan mereka kepada ilmu pengetahun serta akal yang waras.
Walaupun Zaba pernah menyifatkan orang Melayu sebagai bangsa yang muda dan masih mentah jika dibandingkan dengan bangsa yang maju dan tinggi kedudukannya, namun, hal itu diungkapkannya lebih 80 tahun lalu dan kini setelah hampir 47 tahun Zaba meninggalkan kita, bagaimana dengan budi Melayu? Sudah tercapaikah keluhurannya?

Pengarang :