AGENSISELANGOR

10 cawangan LZS beroperasi sepanjang PKP

SHAH ALAM, 19 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) hanya membuka operasi 10 cawangan sahaja sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Agensi berkata cawangan berkenaan dibuka mulai jam 10 pagi hingga 2 petang untuk sebarang urusan.

“Cawangan terbabit adalah ibu pejabat LZS di Shah Alam, Kompleks Majlis Agama Islam Selangor di Klang dan cawangan Subang Jaya, Sungai Besar serta Kuala Selangor.

“Lima lagi cawangan lain adalah Kuala Kubu Bharu, Bandar Baru Selayang, Bandar Baru Bangi, Bandar Baru Ampang dan Bandar Baru Salak Tinggi,” katanya menerusi Facebook.

Agensi meminta orang ramai yang datang berurusan supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) demi keselamatan bersama serta memutuskan rantaian Covid-19.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh hubungi talian LZS di nombor 1300884343 atau emel ke [email protected] atau webchat di www.zakatselangor.com.my,” katanya.


Pengarang :