Mangsa banjir Zaharudin Mohammad, 47, mengangkat barangan yang ditenggelami banjir untuk diletakkan di tempat tinggi ketika tinjauan di Kampung Batu 10 Pasir Gajah, Kemaman, Terengganu pada 9 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

12 bank tawar bantuan untuk mangsa banjir

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Sebanyak 12 bank telah menyahut gesaan membabitkan pemberian bantuan dalam bentuk moratorium serta berkaitan banjir bagi membantu mangsa-mangsa bencana terbabit.

Kejadian banjir itu telah menjejaskan negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Perak, Sabah dan terbaharu di Sarawak.

Susulan itu, sejak Isnin lepas institusi kewangan seperti Affin Bank Bhd, RHB Bank Bhd, Public Bank Bhd, Malayan Bank Bhd, Bank Simpanan Nasional Bhd, Bank Muamalat Malaysia Bhd, CIMB Bank Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd, Alliance Bank Malaysia Bhd, Hong Leong Bank Bhd, SME Bank Bhd dan OCBC Bank Bhd telah menawarkan bantuan bagi pelanggan masing-masing.

Ini termasuk kelonggaran pembayaran balik pinjaman/pembiayaan atau moratorium sehingga enam bulan selain membenarkan penangguhan ansuran pinjaman dan pengecualian caj bayaran lewat.

Affin Bank, CIMB, Hong Leong dan OCBC pula bertindak menderma sejumlah RM1.1 juta kepada agensi-agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan.

Dalam pada itu, pengisytiharan darurat bagi membendung penularan Covid-19 pada Selasa lepas turut mendorong Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Hutang Kredit, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia, turut tampil menawarkan bantuan.

PIAM misalnya telah memberi jaminan kepada mangsa banjir yang mempunyai perlindungan insurans banjir bahawa ahli-ahlinya bersedia untuk mempercepatkan proses tuntutan dan bayaran kerugian akibat bencana tersebut.

– BERNAMA


Pengarang :