Selangorkini
Orang ramai patuh menggunakan pelitup muka selepas Kerajaan mewajibkan penggunaan pelitup muka dia tempat – tempat awam dan sesak bagi mengawal penularan Covid-19 ketika tinjauan sekitar Kuala Lumpur pada 3 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

13 kluster baharu dikesan, tertinggi direkod setakat ini

PUTRAJAYA, 6 JAN: Malaysia hari ini melaporkan 13 kluster baharu, iaitu kluster harian tertinggi setakat ini, dengan 10 daripadanya melibatkan tempat kerja di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Sabah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata 10 kluster itu ialah kluster Dataran Utas, kluster Casa Permai, kluster Firma, kluster Persiaran Teknologi, kluster Bersepadu, kluster Jalan Padu, kluster Kampung Pitas, kluster Ikan Emas, kluster Kayuh dan kluster Jalan Seputeh.

Menurut beliau, kluster tersebut dikenal pasti melalui saringan bersasar yang dijalankan di tempat kerja terbabit selain saringan individu bergejala serta kontak rapat.

“Kluster Dataran Utas melibatkan daerah Petaling, Selangor dengan kes dilapor positif Covid-19 hari ini melalui saringan bersasar di sebuah syarikat dan hingga kini sejumlah 66 kes dikesan positif.

“Kluster Casa Permai juga melibatkan daerah Petaling, Selangor dengan kes dilapor positif Covid-19 bermula 31 Dis lepas melalui saringan bersasar di sebuah pasar raya dan kini 109 kes dikesan positif,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kluster Firma pula melibatkan daerah Johor Bahru dengan 45 kes positif setakat ini yang dikesan melalui saringan bersasar di sebuah kilang.

Kluster Persiaran Teknologi juga di Johor, melibatkan daerah Kulai dengan 25 kes positif dilaporkan setakat ini, dikesan melalui saringan bersasar di sebuah kilang.

Bagi kluster Bersepadu pula yang melibatkan daerah Kota Tinggi, juga di Johor, kes indeks dilaporkan positif Covid-19 pada 1 Jan lepas hasil saringan bersasar di tempat kerja dan kini 21 kes dikesan positif.

Kluster Jalan Padu di Johor Bahru yang hingga kini merekodkan 17 kes positif, dikesan selepas kes indeks dilapor positif Covid-19 pada 3 Jan lalu menerusi saringan individu bergejala.

“Kluster Kampung Pitas pula melibatkan daerah Kalabakan dan Tawau, Sabah dengan kes indeks dilapor positif Covid-19 pada 2 Jan lepas hasil saringan individu bergejala dan hingga hari ini sebanyak 72 kes dikesan positif,” katanya.

Kluster Ikan Emas dikesan di Cheras, Kuala Lumpur dengan kes dilapor positif Covid-19 melalui saringan bersasar di sebuah syarikat dan hingga kini merekodkan 35 kes positif.

Dr Noor Hisham berkata kluster Kayuh juga melibatkan kawasan di ibu negara iaitu Titiwangsa, Kepong dan Lembah Pantai dengan kes indeks dilapor positif Covid-19 melalui saringan kontak rapat dan kini 11 kes dikesan positif.

Kluster Jalan Seputeh pula melibatkan daerah Lembah Pantai dengan kes dilapor positif Covid-19 melalui saringan bersasar di sebuah restoran dan hingga kini 18 kes dikesan positif.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata tiga lagi kluster ialah kluster Medan Jasa, kluster Tasik Utama dan kluster Anak Air.

Kluster Medan Jasa melibatkan daerah Petaling, Selangor; Kuala Kangsar, Perak dan Lembah Pantai, Kuala Lumpur dengan kes indeks merupakan kes ‘Severe Acute Respiratory Infections (SARI)’ yang dilaporkan positif Covid-19 pada 29 Dis dan setakat ini mencatatkan 64 kes positif.

Bagi kluster Tasik Utama yang melibatkan daerah Seremban dan Hulu Langat, Selangor, kes indeks dilapor positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala dan hingga kini 49 kes dikesan positif.

Kluster Anak Air pula melibatkan daerah Melaka Tengah dan Jasin di Melaka dengan kes indeks dilapor positif Covid-19 pada 1 Jan hasil saringan individu bergejala dan setakat ini merekodkan 14 kes positif.

– BERNAMA


Pengarang :