Petugas Kesihatan Selcare melakukan saringan Covid-19 ketika Program Ujian Antigen RTK Covid-19 anjuran DUN Kota Anggerik di Klinik Selcare, Shah Alam pada 22 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

2,000 individu disasar manfaat tawaran saringan Covid-19 serendah RM50

SHAH ALAM, 22 JAN: Seramai 2,000 individu disasar memanfaatkan tawaran menjalani saringan Covid-19 menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) serendah RM50 anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik.

Wakil rakyat, Mohd Najwan Halimi berkata saringan dengan kerjasama Selgate Corporation Sdn Bhd diadakan secara berterusan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula kelmarin.

Menurutnya, pendekatan itu diambil susulan peningkatan kes harian Covid-19 di Selangor kebelakangan ini.

“Harga saringan RTK-Ag di klinik yang agak tinggi sehingga mencecah RM140 sudah pasti membebankan masyarakat, jadi melalui program ini kita menanggung sebahagian kos sebenar.

“Kemudahan ini diharap memberi kelegaan kepada penduduk bagi membolehkan mereka mengetahui status kesihatan sama ada dijangkiti atau sebaliknya,” katanya selepas meninjau program tersebut bersama Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad di Klinik Selcare, Seksyen 13, di sini hari ini.

Sementara itu, Najwan berkata saringan memasuki hari ketiga menerima lebih 200 penyertaan membabitkan penduduk setempat termasuk segelintir dari luar kawasan yang mempunyai keperluan mendesak.

“Walaupun bukan pengundi Kota Anggerik, kita mempertimbang permohonan individu dari luar kerana paling penting tindakan yang diambil memberi impak kepada semua.

“Justeru, saya menyaran mana-mana individu yang bergejala supaya segera tampil membuat saringan,” katanya.

Orang ramai boleh membuat pilihan waktu janji temu sama ada jam 11 pagi, 12 tengah hari atau 2 petang.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghubungi talian 0184004510.

 

Petugas Kesihatan Selcare melakukan saringan Covid-19 ketika Program Ujian Antigen RTK Covid-19 anjuran DUN Kota Anggerik di Klinik Selcare, Shah Alam pada 22 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :