Sumber Grafik Media Selangor
AGENDANASIONAL

37 perkhidmatan perlu dibenar beroperasi sepanjang PKP

SHAH ALAM, 12 JAN: Sebanyak 37 perkhidmatan perlu dalam lima sektor ekonomi utama dibenar beroperasi di enam negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata perkhidmatan itu meliputi sektor pengilangan dan pembuatan di bawah seliaannya selain pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran serta perladangan dan komoditi di bawah bidang kuasa agensi lain.

“Tatacara operasi piawai (SOP) untuk sektor pengilangan dan pembuatan yang di bawah tanggungjawab Miti boleh dimuat turun di http://www.miti.gov.my.

“Keputusan membenarkan lima sektor ini beroperasi bagi menjamin proses pemulihan semula ekonomi
negara, kemampanan perniagaan, mengelak kadar tinggi kehilangan pekerjaan serta memastikan keperluan asas dan kritikal diperoleh.

“Tindakan yang bertanggungjawab ini memberi impak positif khususnya dalam usaha memastikan pertumbuhan ekonomi negara, pelaburan tempatan dan asing serta kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata enam negeri tersebut adalah pemacu aktiviti ekonomi utama negara serta penyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 66.3 peratus.

“Selangor menyumbang kepada KDNK sebanyak 24.2 peratus, Wilayah Persekutuan (16.9 peratus), Johor (9.4 peratus ), Pulau Pinang (6.7 peratus ), Sabah (6.0 peratus ) dan Melaka (3.1 peratus).

“Antara pertimbangan penting yang turut diambil kira oleh kerajaan adalah keperluan untuk menjamin kestabilan aktiviti eksport negara,” katanya.

Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP selama 14 hari di enam negeri berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam ini hingga 26 Januari.


Pengarang :