Sukarelawan bergotong-royong membaiki jalan rosak yang menghubungkan Bandar Puncak Alam dan Kampung Bukit Hijau, Jeram pada 2 Januari 2021. Foto ADN Jeram Mohd Shaid Rosli
ADNSELANGOR

50 sukarelawan gotong-royong baiki jalan rosak

SHAH ALAM, 3 JAN: Seramai 50 sukarelawan terdiri daripada masyarakat setempat dan badan bukan kerajaan (NGO) bergotong-royong membaiki jalan rosak yang menghubungkan Bandar Puncak Alam dan Kampung Bukit Hijau, Jeram.

Wakil rakyat Jeram memaklumkan kerja baik pulih jalan ‘tikus’ dilakukan daripada 8 pagi hingga 12 tengah hari semalam.

Mohd Shaid Rosli berkata aktiviti itu dijalankan bagi memudahkan pergerakan pengguna di situ.

“Setiap hari, hampir ribuan kenderaan termasuk lori muatan besar seperti sampah dan projek perumahan akan melalui jalan tersebut sehingga menyebabkan ia cepat rosak serta berlubang.

“Sebelum ini ia jarang digunakan orang ramai tetapi kini sudah menjadi laluan utama sejak jalan pintas untuk ke Kuala Selangor atau datang ke Puncak Alam ini wujud dalam aplikasi navigasi Waze,” katanya ketika dihubungi.

Beliau juga memperuntuk sejumlah RM7,000 untuk membeli peralatan diperlukan bagi melaksanakan aktiviti tersebut seperti kereta sorong dan cangkul.

“Ini adalah perbelanjaan saya sendiri kerana kita tidak boleh guna dana Kerajaan Negeri memandangkan jalan ini sebenarnya tidak diwartakan.

“Saya berterima kasih kepada pihak terlibat yang sudi membantu dalam menjayakan kerja baik pulih jalan ini,” katanya.

Mohd Shaid menambah jalan terbabit akan diselenggara Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk dijadikan sebagai laluan alternatif selepas pembinaan lebuh raya berhampiran siap.


Pengarang :