Mohd Najwan Halimi meninjau tapak cadangan projek infrastruktur di Sekolah Rendah Agama (SRA) Seksyen 3, Shah Alam pada 24 November 2020. Foto Facebook Najwan Halimi
ADNBERITA UTAMASELANGOR

51 sekolah DUN Kota Anggerik terima dana naik taraf kemudahan

SHAH ALAM, 5 JAN: Sebanyak 51 buah sekolah sekitar Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik menerima bantuan berjumlah RM868,000 untuk menambah baik infrastruktur.

Wakil rakyatnya Mohd Najwan Halimi berkata sumbangan oleh Kerajaan Negeri meliputi 33 sekolah agama, 14 maahad tahfiz, tiga sekolah jenis kebangsaan (SJK) Tamil dan satu SJK Cina.

“Saya berharap sumbangan ini membantu pengurusan sekolah untuk menambah baik kemudahan sedia ada menjelang sesi persekolahan tidak lama lagi dan memastikan keselesaan pelajar mengikut norma baharu,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 23 November 2020, Dato’ Menteri Besar memperuntuk sejumlah RM22.473 juta untuk menaik taraf infrastruktur 740 buah sekolah di Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan RM9.113 juta diagih kepada 538 sekolah agama rakyat, RM6 juta untuk 101 SJK Cina dan RM2 juta kepada empat sekolah menengah persendirian Cina.

Turut menerima manfaat ialah 83 SJK Tamil melibatkan dana RM4.36 juta manakala RM1 juta kepada 14 sekolah mubaligh serta sekolah menengah jenis kebangsaan.


Pengarang :