Selangorkini
Ahli Dewan Negeri Sekinchan Ng Suee Lim (tiga dari kiri) menyerahkan lesen pendudukan sementara Jeti Pelantar Ikan Bagan Sekinchan kepada wakil persatuan nelayan pada 9 Januari 2021. Foto Ng Suee Lim
ADN SELANGOR

ADN: 86 pengusaha pelantar ikan Sekinchan terima lesen pendudukan sementara

SHAH ALAM, 10 JAN: Seramai 86 pengusaha pelantar ikan di Jeti Bagan Sekinchan menerima lesen pendudukan sementara (TOL) bagi membolehkan aktiviti perikanan berjalan tanpa gangguan.

Ahli Dewan Negeri Sekinchan berkata permohonan itu diluluskan sementara menunggu proses Pewartaan Melalui Pajakan selama 21 tahun dan penstrukturan semula jeti selesai dijalankan tahun ini.

“Langkah ini akan memudahkan pemantauan pihak berwajib bagi memastikan tiada sebarang penipuan aktiviti di lapangan susulan sebelum ini tiada rekod inventori atau sistem khusus untuk mengawal dan mengemas kini aktiviti pelantar ikan di jeti berkenaan,” kata Ng Suee Lim ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata pengusaha terbabit sudah lama menantikan pemberian lesen berkenaan supaya jeti dibina diperakui sah oleh kerajaan dan selamat beroperasi.

“Tidak seperti sebelum ini, mereka sentiasa dalam keadaan tertekan kerana perlu bayar. Saya percaya kerjasama antara persatuan nelayan dan Kerajaan Negeri akan menjadi lebih erat selepas ini,” katanya.

Pada 25 Mei 2016, Pejabat Tanah dan Daerah Sabak Bernam menerima 86 permohonan daripada nelayan pelantar ikan di Bagan Sekinchan bagi proses pewartaan jeti nelayan.

Perizaban itu dibuat mengikut Seksyen 62, Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 untuk kelulusan Dato’ Menteri Besar.


Pengarang :