ADNSELANGOR

ADN: Salur segera, pakej rangsangan langkah tepat bela golongan sasar

SHAH ALAM, 21 JAN: Pakej Rangsang Ekonomi Kita Selangor diumumkan Dato’ Menteri Besar semalam diharap dijalankan segera bagi membela golongan sasar.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia berkata pengumuman Dato’ Seri Amirudin Shari diyakini suntikan terbaik untuk menjaga kebajikan semua golongan di negeri itu.

“Peruntukan RM74.877 juta bagi memastikan kebajikan rakyat Selangor terbela terutama ketika berdepan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0).

“Pengagihan RM6 juta untuk ujian saringan bersasar dengan tumpuan kepada 50,000 individu berisiko tinggi adalah langkah tepat dalam usaha memerangi Covid-19,” kata Halimey Abu Bakar dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pakej disediakan Kerajaan Negeri memahami denyut nadi kesukaran rakyat ketika proklamasi darurat dengan melupuskan pinjaman 762 peminjam Yayasan Selangor.

“Penghargaan kepada petugas barisan hadapan juga tidak dilupakan dengan pelaksanaan Inisiatif Cakna Anak Barisan Hadapan dan bantuan makanan dua kali sehari kepada 9,822 petugas perubatan di hospital dan Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya.

Halimey turut menzahirkan penghargaan dengan peruntukan RM100,000 kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menjayakan program mesra rakyat.

“Walaupun Selangor berhadapan dengan situasi angka melonjak kes baharu Covid-19 tetapi kita tidak lupa untuk bantu mangsa banjir di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Pengumuman ini sekali gus menyedarkan kita untuk bertindak sebagai satu kesatuan warga tanpa mengira aspirasi politik dan bendera ideologi demi kesejahteraan serta kebajikan rakyat,” katanya.


Pengarang :